Jumaat, 10 Mei 2024 | 5:01pm
Ramli bukanlah seorang yang berkira, malah menjadikan persembahan untuk memperkenalkan diri dan karya baharu kepada peminat generasi muda. - NSTP/Rohanis Shukri
Ramli bukanlah seorang yang berkira, malah menjadikan persembahan untuk memperkenalkan diri dan karya baharu kepada peminat generasi muda. - NSTP/Rohanis Shukri

Bagai terapi generasi muda nyanyi bersama - Ramli Sarip

KUALA LUMPUR: Kemeriahan sambutan Majlis Hari Raya Media Prima Berhad (MPB) di Balai Berita, Bangsar mendapat pujian penyanyi jolokan Papa Rock, Datuk Ramli Sarip, baru-baru ini.

Ramli yang hadir memeriahkan acara dengan mendendangkan tiga lagu secara akustik iaitu Bukan Kerana Nama, Doa Buat Kekasih dan Teratai seronok melihat kira-kira 900 kakitangan yang diraikan pada majlis turut menyanyi bersamanya.

Katanya, melihat mereka menyanyi bersama adalah satu kepuasan, walaupun banyak lagu-lagu hit tidak dapat dimainkan.

"Saya suka tengok semangat kakitangan MPB yang 'sporting' menyanyi bersama seperti menonton konsert. Semangat mereka sangat bagus dan memberikan kepuasan buat saya.

"Saya tahu apa yang mereka mahukan, jadi saya bawakan lagu-lagu yang biasa pada halwa telinga penonton, cuma ada banyak lagi lagu yang tak sempat dinyanyikan," katanya kepada BH Online.

Ramli mendedahkan, dia bukanlah seorang yang berkira, malah menjadikan persembahan untuk memperkenalkan diri dan karya baharu kepada peminat generasi muda.

"Biasanya saya akan tanya penganjur adakah cukup masa untuk saya nyanyi lebih, takut ada penyanyi lain menunggu.

"Kalau main dua lagu macam kasihan. Bagi saya, apabila sudah lama bergelar penyanyi, bukan soal wang ringgit jadi ukuran, tetapi kepuasan dirasakan bila penonton terima.

"Ia juga bagai satu terapi dan pencapaian bila mereka boleh nyanyi bersama.

"Saya anggap menyanyi sebagai hiburan dan pekerjaan, tetapi juga satu bentuk promosi untuk generasi muda tahu lagu saya. Syabas kepada Berita Harian kerana menjadikan majlis sangat meriah," katanya.

Ramli menghiburkan warga MPB dengan mendendangkan tiga lagu secara akustik iaitu Bukan Kerana Nama, Doa Buat Kekasih dan Teratai. - NSTP/Rohanis Shukri
Ramli menghiburkan warga MPB dengan mendendangkan tiga lagu secara akustik iaitu Bukan Kerana Nama, Doa Buat Kekasih dan Teratai. - NSTP/Rohanis Shukri

Selain Ramli, majlis sambutan Hari Raya MPB turut diserikan dengan persembahan penyanyi popular seperti Ramlah Ram, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Elly Mazlein dan Haziq Rosebi.

Sementara itu, Ramli tidak pernah terlintas mempromosikan lagu-lagunya di platform TikTok walaupun mengakui ia sebuah platform yang bagus pada masa ini.

"Permainan dunia seni sekarang sudah berbeza, dulu syarikat rakaman menggunakan stesen radio dan televisyen untuk tujuan promosi, tetapi sekarang ramai memilih medium seperti TikTok.

"Bagaimanapun, saya tidak ke arah itu walaupun memang perlu dan bagus, tetapi ia bukanlah cara saya. Saya sudah dewasa dan tak perlukan sangat benda begitu.

"Bagi saya, tak perlu terikut-ikut sangat cara generasi muda sekarang.

"Apa yang penting, kalau orang suruh saya menyanyi atas pentas selama 45 minit, saya tiada masalah. Nak suruh saya menyanyi secara akustik pun boleh sebab saya ada banyak lagu boleh dinyanyikan," katanya.

Berita Harian X