Jumaat, 10 Mei 2024 | 11:01am
Masalah gugup melampau dihadapi Haziq mula dikesan ketika Haziq bersaing di pentas AF4. Foto NSTP Rohanis Shukri
Masalah gugup melampau dihadapi Haziq mula dikesan ketika Haziq bersaing di pentas AF4. Foto NSTP Rohanis Shukri

Kaca mata hitam jadi pelindung Haziq Rosebi

KUALA LUMPUR: Masalah gangguan kebimbangan sosial atau 'social anxiety' menjadi punca Haziq Rosebi, 36, sering dilihat berkaca mata hitam setiap kali membuat persembahan di hadapan khalayak.

Akui penyanyi bersuara lemak merdu ini, disebabkan masalah itu, dia jarang menghadiri acara keramaian, sebaliknya, bergegas pulang setiap kali selesai membuat persembahan.

Masalah gugup melampau dihadapi bapa kepada dua cahaya mata itu mula dikesan ketika Haziq bersaing di pentas musim keempat Akademi Fantasia (AF4), hingga tangan menggeletar ketika memegang mikrofon dapat dilihat ketara di televisyen.

"Saya anggap kaca mata hitam adalah 'comfort zone' (zon tenang) buat saya apabila membuat persembahan.

"Masalah ini saya alami sejak bangku sekolah lagi hingga perlu ambil makanan tambahan supaya boleh bertenang. Masalah ini boleh menyerang pada bila-bila masa, termasuk ketika sedang berbual santai.

"Disebabkan itu, saya kurang hadir sebarang acara kalau tidak perlu. Biasanya, saya bergegas pulang selepas persembahan.

Haziq anggap kaca mata hitam sebagai zon penenang ketika beraksi di depan khalayak. Foto NSTP Rohanis Shukri
Haziq anggap kaca mata hitam sebagai zon penenang ketika beraksi di depan khalayak. Foto NSTP Rohanis Shukri

"Bukan sombong. Memang saya bimbang jika ada yang fikir begitu. Tetapi, saya kurang selesa apabila berada di tempat ramai orang," katanya ditemui pada Majlis Hari Raya Media Prima Berhad (MPB) di Balai Berita, Bangsar, Selasa lalu.

Pada majlis itu, Haziq mendendangkan dua lagu, iaitu Selamat Hari Raya nyanyian asal Allahyarham Datuk Ahmad Jais dan Lemak Manis.

Mengenai perkembangan karier seni, Haziq teruja berkongsi dia baru menandatangani kontrak bersama syarikat rakaman, Rusa Music selepas hampir 15 tahun bergerak sendiri.

Haziq bersetuju bernaung di bawah syarikat itu disebabkan rekod baik cemerlang dalam menaikkan ramai penyanyi.

Bagaimanapun, Haziq mengaku berdebar melihat bagaimana kerjayanya diuruskan syarikat terbabit.

"Kali terakhir saya bernaung di bawah syarikat rakaman adalah ketika bersama Maestro Music selepas AF4. Sejak 2009 sampai sekarang, barulah saya buat keputusan bernaung di bawah Rusa Music.

"Saya buat keputusan ini kerana memikirkan kesan jangka panjang untuk kerjaya seni. Bagi saya, Rusa Music adalah organisasi yang sangat bagus.

"Mereka keluarkan modal untuk rakam lagu dan kerja promosi. Jadi, soal itu, saya tidak perlu risau. Saya gembira penyanyi lagu tradisional dapat tempat di bawah syarikat rakaman itu," katanya lagi.

Haziq berkata, dia bakal merakamkan lagu duet ciptaan Affan Mazlan yang menggabungkan elemen muzik moden dan tradisional.

"Saya akan muncul dengan beberapa lagu. Tetapi untuk single pertama, syarikat mahu saya tampil dengan lagu duet. Sekarang, kami sedang pilih penyanyi wanita yang sesuai. Mungkin antara Wany Hasrita atau Baby Shima," katanya.

Berita Harian X