Khamis, 9 Mei 2024 | 10:56pm
Ubai MZ berkongsi kelahiran puteri sulungnya bersama Shila melalui hantaran Instagram (IG). Foto IG Ubai MZ
Ubai MZ berkongsi kelahiran puteri sulungnya bersama Shila melalui hantaran Instagram (IG). Foto IG Ubai MZ

Shila Amzah, Ubai dapat anak perempuan

KUALA LUMPUR: Penyanyi Shila Amzah selamat melahirkan cahaya mata perempuan diberi nama Rhea Akira, hari ini.

Berita gembira itu dikongsi suami Shila iaitu pempengaruh media sosial, Ubai MZ melalui hantaran terkini di Instagram (IG), malam tadi.

Bagaimanapun, butiran terperinci mengenai kelahiran bayi sulung mereka itu tidak didedahkan.

"9 Mei 2024. Alhamdulillah, isteri saya sudah selamat bersalin. Gugur air mata dan sebak melihat isteri bertarung nyawa demi cahaya mata tercinta.

"Pengalaman pertama kali melaungkan azan pada cahaya mata kami, sungguh luar biasa. Perasaan yang tak dapat saya ungkapkan," luahnya.

Dalam hantaran sama, Ubai atau nama penuh, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 26, meluahkan rasa syukur atas rezeki dikurniakan.

"Terima kasih ya Allah atas rezeki yang kau berikan pada kami sekeluarga. Cucu pertama arwah emak sudah selamat dilahirkan.

"Mesti arwah mak 'happy' takdir dan perancangan Allah itu sangat hebat. Akan kami jaga sehabis baik amanah dan rezeki yang Engkau berikan ini," ungkapnya.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 2023 selepas Shila bercerai dengan bekas suami, Haris Idraki Elias pada 8 Februari 2022, selepas empat tahun berkahwin.

Hasil perkongsian hidup, Shila dan Haris dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Seth Uwais.

Berita Harian X