Khamis, 9 Mei 2024 | 1:01pm
Jurey berpendapat, stesen TV lain harus mengambil tindakan sama kerana langkah itu dapat mendidik pelakon supaya tidak menyalah gunakan populariti dimiliki. - Foto IG Jurey Latiff Rosli
Jurey berpendapat, stesen TV lain harus mengambil tindakan sama kerana langkah itu dapat mendidik pelakon supaya tidak menyalah gunakan populariti dimiliki. - Foto IG Jurey Latiff Rosli

Tangguh tayangan drama peringatan kepada artis kontroversi

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menyambut baik keputusan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menangguhkan tayangan drama membabitkan pelakon yang namanya hangat diperkatakan susulan kontroversi.

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata langkah diambil RTM sesuai dilaksanakan kerana dilihat mampu memberi pengajaran kepada artis bermasalah dan terpalit dengan isu moral.

"Bagi PTVM, kami sokong inisiatif RTM dalam memastikan industri dikawal selia dengan baik kerana sentimen kepada artis sedang panas. Tindakan RTM juga tepat pada waktunya.

"Jadi, kami hendak beri peringatan dan menjelaskan kepada seluruh penggiat industri terutama kepada artis supaya menjaga moral dan tingkah laku dengan baik.

"Kami tak mahu bila disiarkan, akan timbul lagi isu lain dan drama berkenaan kurang mendapat sambutan. Malah, nilai positif yang ingin ditonjolkan kepada penonton juga tak kesampaian.

"PTVM harap ini juga dapat memberi pengajaran kepada syarikat produksi dan kru belakang tabir supaya menjaga isu moral. Bila drama atau program disiarkan tak jejaskan nama baik industri," katanya kepada BH Online.

Jurey berkata, tindakan menangguhkan tayangan drama atau program membabitkan artis bermasalah menjadi isyarat penting kepada golongan berkenaan supaya tidak 'besar kepala' dan melakukan sesuatu perkara sesuka hati.

"Ini juga satu 'signal' kepada artis, jangan ingat boleh buat sesuka hati. Mungkin mereka tak peduli dengan apa yang dibuat, tapi perlu ingat mereka adalah individu menjadi tatapan umum.

"Mereka harus fikir jauh dan sentiasa berusaha memberi nilai positif kepada penonton. Kadang-kadang sebab terkenal, mereka lupa apa yang dibuat boleh memberi kepada ramai pihak.

"Jangan jadikan alasan soal peribadi sebab mereka adalah selebriti dan mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan masyarakat. Sudah pasti apa sahaja dilakukan akan mendapat liputan meluas," katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman mengambil langkah menangguhkan tayangan drama membabitkan artis bermasalah di RTM.

Beliau dilapor berkata, soal tatasusila dan sosial membabitkan pelakon sentiasa menjadi pertimbangan sebelum membintangi drama yang ditayangkan di stesen televisyen (TV) itu.

Katanya, RTM tidak mahu mengambil tindakan gam atau 'banned', sebaliknya menggunakan pendekatan yang lebih halus iaitu memberikan rawatan psikologi, jiwa dan khidmat profesional.

Dalam pada itu, Jurey berpendapat, stesen TV lain harus mengambil tindakan sama kerana langkah itu dapat mendidik pelakon supaya tidak menyalah gunakan populariti dimiliki.

"Kita menilai kesan kepada masyarakat. Tapi kalau tanya saya, ia bukanlah satu bentuk hukuman untuk menekan pelakon, tapi sekurang-kurangnya dapat memastikan perkara sama tidak berulang.

"Antara lain, kami hendak lihat ada perubahan kepada pelakon terbabit. Ini kerana, kalau tidak ada langkah drastik, mereka akan lakukan perkara sama, sekali gus menjejaskan periuk nasi sendiri.

"Ini juga jalan penyelesaian terbaik daripada RTM dan pendekatan untuk bantu pelakon. Kerana berkemungkinan mereka ada masalah lain dan perlukan bantuan.

"RTM memperlihatkan kematangan mereka," katanya.

Sehubungan itu, Jurey menasihatkan golongan selebriti berpijak di bumi nyata dan menjaga tatasusila sebagai individu berpengaruh.

"Industri tak besar dan peringatan kepada penggiat seni, zaman kegemilangan tak lama. Suatu hari mungkin merudum sehingga sukar hendak cari makan.

"Bila berada di tahap atas kenalah beringat cari rezeki halal dan buat kerja dengan baik. Kalau kena gam, sudah tentu akan menjejaskan kehidupan.

"Jadi, semasa nama sedang popular, ambillah peluang dengan melakukan perkara betul supaya tak dicemuh masyarakat hingga merugikan diri sendiri," katanya.

Berita Harian X