Selasa, 7 Mei 2024 | 4:35pm
Meerqeen aktif bersukan dan teruja bawa watak pemain bola sepak dalam filem Harimau Malaya: The Untold Journey
Meerqeen aktif bersukan dan teruja bawa watak pemain bola sepak dalam filem Harimau Malaya: The Untold Journey

Meerqeen 'bergaduh' di set Harimau Malaya?

KUALA LUMPUR: Tidak berselindung cabaran di sebalik penggambaran filem Harimau Malaya: The Untold Journey, bintang utamanya, Meerqeen bertegang urat dengan seorang pelakon ketika menjalani penggambaran.

Bagaimanapun, apa yang berlaku hanya membabitkan pertengkaran mulut, tidaklah sampai ada insiden tumbuk menumbuk.

"Filem ini agak berat kerana ia sarat dengan emosi. Penggambaran juga dijalankan daripada pagi hingga pagi.

"Jujurnya, selain cedera bahagian buku lali pada hari terakhir penggambaran, saya juga bertegang urat dengan pelakon yang menjayakan watak pemain bola sepak dalam filem ini.

"Iyalah, filem ini mengumpulkan 22 lelaki dan semuanya ada ego masing-masing. Nak dijadikan cerita, kami menjalankan penggambaran babak latihan atas padang dan tekanan sudah mula ada berikutan cuaca terlalu panas.

"Lebih tertekan, kami perlu melakukan babak berulang kali. Jadi, timbulkan sedikit pergaduhan, namun tidaklah sampai bertumbuk, hanya bergaduh mulut sahaja.

Meerqeen cedera pada bahagian buku lali pada hari terakhir penggambaran, selain bertegang urat dengan pelakon yang menjayakan watak pemain bola sepak dalam filem
Meerqeen cedera pada bahagian buku lali pada hari terakhir penggambaran, selain bertegang urat dengan pelakon yang menjayakan watak pemain bola sepak dalam filem

"Saya tahu kami semua penat. Mana tidaknya, kami jalani penggambaran di padang itu selama lebih seminggu, dari pagi hingga pagi. Namun, semuanya berakhir dengan baik," katanya kepada BH Online.

Meerqeen tidak menafikan tekanan memberikan yang terbaik dalam lakonannya juga antara faktor kepada perselisihan faham berlaku.

Bagaimanapun, Meerqeen berkata, mereka tetap baik dan berkawan sehingga sekarang.

"Kadang-kadang kita lupa bahawa ini hanyalah lakonan dan satu karya yang sedang lakukan, jadi tak perlulah terlalu mengambil serius.

"Alhamdulillah, semua pelakon pun faham situasi ini. Kami manusia, ada masa rasa kurang, tapi akhirnya kami berkawan seperti biasa. Kita pun lelaki, tak mahu gaduh lama-lama," katanya.

Berkongsi lanjut, Meerqeen berkata, ia adalah filem pertama dan sangat berterima kasih diberikan peluang untuk bekerja di bawah pengarahan Datuk Afdlin Shauki.

"Saya sukakan sukan. Sejak dulu sampai sekarang, saya memang aktif dalam sukan balapan, olahraga, ragbi dan pelbagai lagi. Jadi, apabila diberikan watak ini pastinya saya teruja.

"Jujurnya, saya takut filem ini tidak melepasi harapan ramai. Saya tak boleh nak berikan 100 peratus yang orang ramai mahukan sebab saya hanyalah pelakon, bukan pemain bola sepak.

"Saya boleh bermain bola sepak, tapi untuk memenuhi keinginan orang lain, tak mungkin boleh. Jadi, saya harap penonton boleh faham apa yang kami kerjakan dan mesej filem ini," katanya yang turut tampil dengan drama bersiri Framed.

Filem Harimau Malaya: The Untold Journey mengisahkan kebangkitan semula Harimau Malaya selepas kemerosotan yang membawa kepada peletakan jawatan jurulatih Tan Cheng Hoe pada Januari 2022.

Bakal menemui khalayak di pawagam pada Jun, karya ini turut membariskan pelakon seperti Sophia Albarakbah, Aidil Aziz, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Zain Hamid, Vanidah Imran, Erra Fazira, Amelia Henderson, Nam Ron, Bell Ngasri, Kavin Jay dan Douglas Lim.

Berita Harian X