Selasa, 7 Mei 2024 | 1:18pm
Anak bongsu arwah Hail, Lufti Ameer menganggap peninggalan karya seni sama ada lagu atau filem akan terus menjadi pengubat rindu mereka sekeluarga. - NSTP/Sadiq Sani
Anak bongsu arwah Hail, Lufti Ameer menganggap peninggalan karya seni sama ada lagu atau filem akan terus menjadi pengubat rindu mereka sekeluarga. - NSTP/Sadiq Sani

'Papa sempat bergurau sebelum tutup mata' - anak Hail Amir

AMPANG: "Tiada apa-apa pesanan istimewa, tapi papa selalu cakap dekat kami supaya jaga diri baik-baik."

Demikian kata anak kepada Allahyarham Datuk Hail Amir, 76, iaitu Lutfi Ameer, 26, ketika ditanya mengenai pesanan terakhir diterima sebelum bapanya menghembus nafas terakhir.

Anak bongsu daripada empat adik-beradik itu berkongsi, bapanya sentiasa berpesan agar sentiasa menjaga diri sebaiknya, malah bersyukur dengan setiap memori indah yang dicipta bersama.

"Terlampau banyak kenangan, arwah seorang yang periang, namun tegas bertempat. Rumah tak sunyi kalau ada papa, sekarang papa tiada lagi.

"Perginya seorang figura yang sangat penting dalam hidup saya. Bukan sahaja sebagai bapa, tetapi sebagai inspirasi buat kami adik-beradik," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini, hari ini.

Lutfi berkata, meskipun bapanya sudah pergi buat selamanya, namun peninggalan karya seni sama ada lagu dan filem akan terus menjadi pengubat rindu mereka sekeluarga.

"Saya anggap itu adalah peninggalan paling berharga dan bonus kepada kami sekeluarga yang tidak semua orang ada.

"Ada sesetengah orang mungkin meninggalkan tanah atau harta, tapi papa tinggalkan kami dengan khazanah karya yang tidak ternilai harganya.

"Meskipun papa tiada, karyanya akan sentiasa mengubati rindu kami sekeluarga. Suaranya akan berkumandang sampai bila-bila," katanya.

Dalam pada itu, Lutfi bersyukur apabila arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang dan dipermudahkan.

"Satu keluarga tahu yang papa ada masalah buah pinggang, tapi tidaklah teruk mana sebab sudah lama makan ubat.

"Semuanya normal sebelum arwah mengadu sakit dan segera dikejarkan ke hospital sebab papa dalam keadaan lemah.

"Selepas menerima rawatan beberapa hari, keadaan arwah nampak macam okay dan papa sempat bergurau dengan saya seperti orang sihat. Tak sangka arwah pergi secepat ini," katanya.

Semalam, Allahyarham Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 3.48 petang akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Berita Harian X