Selasa, 7 Mei 2024 | 12:07pm
Ahmad Tarmimi sudah berkawan baik dengan arwah Hail sejak bujang dan perwatakannya sangat menyenangkan. - NSTP/Sadiq Sani
Ahmad Tarmimi sudah berkawan baik dengan arwah Hail sejak bujang dan perwatakannya sangat menyenangkan. - NSTP/Sadiq Sani

Tiada lagi teman baik 'bergurau kasar' - Ahmad Tarmimi

AMPANG: Pelakon veteran, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar terkilan tidak dapat bertemu Allahyarham Datuk Hail Amir yang juga sahabat seperjuangannya buat kali terakhir kerana berdepan kesibukan kerja.

Ahmad Tarmimi menyifatkan pemergian arwah Hail adalah satu kehilangan besar buat dirinya kerana sudah lagi tidak ada teman baik yang boleh bergurau kasar bersama.

"Saya terlewat 30 minit untuk menziarahi arwah semalam. Dua hari lalu arwah masih sedar, tapi saya sangat sibuk sehingga tak sempat untuk datang, jadi agak terkilan sedikit.

"Cuma, apa yang membuatkan kehilangannya dirasai apabila saya sudah tidak boleh bergurau kasar dengannya. Arwah senang didekati dan seorang bapa yang penyayang.

"Sebenarnya, 'batch' kami tinggal dua orang lagi, jadi tak tahulah bila pula saya akan pergi. Semoga Allah menerima segala amalannya dan keluarga tabah menghadapi kehilangannya," katanya ditemui ketika proses pengurusan jenazah Allahyarham Hail di Masjid Ukay Perdana, di sini, pagi tadi.

Ahmad Tarmimi berkata, sejak awal era 1970-an, dia sudah berkawan baik dengan arwah Hail yang sememangnya cukup dikenali dengan perwatakan menyenangkan.

"Sejak 1970, kami masih bujang. Dia adalah orang senang didekati dan saya sayangi. Walaupun bila sudah di penghujung usia kami bawa hal masing-masing, tapi masih bertemu juga setahun sekali.

"Kami juga banyak berjumpa di program sahaja. Arwah sudah tidak boleh memandu dan memerlukan bantuan anak dan isterinya," katanya.

Selain Ahmad Tarmimi, antara rakan artis lain yang hadir adalah Uji Rashid, Datuk Yusof Haslam, Datuk Khadijah Ibrahim dan ramai lagi.

Kira-kira 200 termasuk ahli keluarga, rakan artis dan kenalan terdekat tiba di Masjid Ukay Perdana, di sini, hari ini sejak awal pagi tadi bagi memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham Hail.

Terdahulu, Allahyarham Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir, 76, disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 3.48 petang semalam akibat jangkitan paru-paru.

Berita Harian X