Selasa, 7 Mei 2024 | 11:42am
Chuari menulis hampir 100 lirik lagu untuk arwah Hail menyifatkan penyanyi bersuara lunak itu memiliki keunikan tersendiri. - NSTP/Sadiq Sani
Chuari menulis hampir 100 lirik lagu untuk arwah Hail menyifatkan penyanyi bersuara lunak itu memiliki keunikan tersendiri. - NSTP/Sadiq Sani

Arwah Hail sentiasa mesra, tak lupa kawan - Chuari Selamat

AMPANG: Penulis lirik, Datuk Chuari Selamat menyifatkan Allahyarham Datuk Hail Amir seorang yang sentiasa menjaga hubungan baik bersama sahabatnya, malah sama sekali tidak melupakan pencipta setiap lagu dendangannya.

Chuari yang sudah menulis hampir 100 lirik lagu untuk Hail berkata, dia sangat senang dapat bekerjasama dengan penyanyi berasal dari Pulau Pinang itu sejak awal era 1970-an.

"Bagi saya, arwah adalah penyanyi yang mudah terima lirik yang saya tulis. Jadi, banyak kenangan, arwah sangat mesra dan sentiasa ingat kepada kawan.

"Bila dalam majlis, arwah takkan lupa menyebut lagu ini ciptaan siapa kerana ada sesetengah penyanyi selalu lupa perkara itu.

"Jadi, itu antara kelebihan yang ada pada arwah," katanya ditemui ketika proses pengurusan jenazah Allahyarham Hail di Masjid Ukay Perdana di sini, hari ini.

Chuari yang juga bekas juruhebah RTM berkata, karya arwah mempunyai keunikan tersendiri, malah bersifat malar segar dan menjadi siulan sehingga hari ini.

"Seingat saya hampir 100 lirik lagu saya tulis untuk arwah. Bukan ciptaan daripada Tan Sri Ahmad Nawab sahaja, tapi daripada komposer lain juga termasuk yang menerbitkan album arwah.

"Kebanyakan lagu arwah akan diberi kepada saya untuk ditulis lirik. Sejak album pertama arwah iaitu Wajah Kesayangan Hamba.

"Ketika itu, saya diberikan melodi oleh Ahmad Nawab dan diperkenalkan kepada arwah yang masih baru bergelar penyanyi," katanya.

Mengulas lanjut, Chuari berkata, lakonan arwah terutama menerusi filem pertamanya, iaitu Jiwa Remaja sangat memberi kesan sehingga perwatakan dan penampilannya menjadi ikutan ramai.

"Daripada segi lakonan sejak filem pertamanya, watak dibawakan arwah sangat baik dan memberi kesan kepada saya.

"Saya sangat terkesan dengan lakonannya. Walaupun bermula sebagai penari sebelum bergelar penyanyi dan pelakon, arwah boleh digelar seorang penghibur. Arwah juga sangat menjaga hubungan dengan rakan," katanya.

Hail atau nama sebenar, Allahyarham Abdul Hail Amir disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 3.48 petang semalam akibat jangkitan paru-paru.

Jenazah Allahyarham Hail diuruskan di Masjid Ukay Perdana dan akan disolatkan pada jam 10.30 pagi sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana untuk disolatkan.

Antara rakan artis yang hadir adalah Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Khadijah Ibrahim dan Uji Rashid.

Berita Harian X