Isnin, 6 Mei 2024 | 9:16pm
DJ Dave menyifatkan pemergian arwah Hail sebagai satu kehilangan besar dalam industri seni tanah air. - Foto NSTP
DJ Dave menyifatkan pemergian arwah Hail sebagai satu kehilangan besar dalam industri seni tanah air. - Foto NSTP

DJ Dave sempat bergurau sebelum Hail 'tutup mata'

KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran, Datuk DJ Dave mengakui gurauan momen silam bersama Allahyarham Datuk Hail Amir menjadi kenangan terakhir antara mereka.

DJ Dave yang juga Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) berkata, dia juga masih terkejut dengan pemergian Hail, malah tidak mengetahui sahabatnya itu sudah dimasukkan ke hospital sejak minggu lalu akibat masalah pada bahagian paru-paru.

"Saya tahu arwah sakit sejak enam tahun lalu, tetapi dimasukkan ke hospital kali ini lambat dapat tahu. Sabtu lalu anaknya maklumkan dan semalam, saya datang ziarah.

"Kami sempat bergurau dan arwah kenal saya ketika ditegur. Malah, saya kenang semula zaman kami muda dan arwah masih ingat ketika itu," katanya kepada BH Online ketika ditemui di Unit Forensik HKL, hari ini.

DJ Dave memberitahu, kali terakhir berkongsi pentas sekitar dua tahun lalu, selain menyifatkan arwah seorang yang baik hati.

"Kali terakhir berkongsi pentas apabila saya mengundang arwah menyanyi bersama dalam konsert dua tahun lalu.

"Beliau seorang yang sentiasa tersenyum dan baik hati. Suara arwah sangat merdu dan beliau sahaja ada suara begitu," katanya.

DJ Dave menyifatkan pemergian arwah sebagai satu kehilangan besar dalam industri seni tanah air.

"Apabila berita arwah sakit mula tersebar, saya cuba dapatkan bantuan agar dapat dipindahkan ke wad lebih selesa kerana ramai boleh datang melawat.

"Tetapi, tak sempat hendak pindah wad arwah sudah meninggal dunia, hari ini. Saya sangat terkejut dan cuba bantu dalam pengurusan arwah," katanya.

Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 3:48 petang tadi akibat jangkitan paru-paru.

Berita Harian X