Isnin, 6 Mei 2024 | 8:24pm
Farouk menyifatkan arwah Hail seorang yang mudah mesra dan melayannya seperti adik.
Farouk menyifatkan arwah Hail seorang yang mudah mesra dan melayannya seperti adik.

Farouk tak sangka bertemu Hail buat kali terakhir

KUALA LUMPUR: Pemergian penyanyi dan pelakon era 70-an, Datuk Hail Amir, 76, akibat jangkitan kuman pada paru-paru kira-kira jam 3.48 petang di Hospital Kuala Lumpur cukup mengejutkan buat rakan industri.

Bagi pelakon Farouk Hussain, dia tidak menyangka pertemuan dengan arwah adalah pertemuan terakhir mereka, semalam.

Farouk berkata, walaupun keadaan arwah tenat dan separuh sedar, namun tetap menaruh harapan penyanyi lagu Wajah Kesayangan Hamba itu beroleh kesembuhan.

"Saya masih terkejut dengan pemergian seorang figura yang saya anggap seperti abang.

"Ikhlas cakap ketika menziarahi arwah semalam, keadaannya agak tenat. Tapi, dalam hati saya tetap mengharapkan arwah dapat sihat kembali.

"Anaknya beritahu bapa mengalami masalah paru-paru dan jangkitan lain, tetapi saya tetap doakan Allah panjangkan umur arwah.

"Bila dapat berita pemergian arwah, saya tak tahu nak kata apa. Cuma, saya minta agar semua orang dapat mendoakan kesejahteraan roh arwah," kata Farouk.

Menurutnya, meskipun berada dalam zaman yang berbeza, tetapi arwah seorang yang mudah mesra dan melayannya seperti adik.

"Arwah tidak meletakkan istilah senior atau junior, sebaliknya melayan semua orang sama rata dan mesra.

"Kami sebenarnya sudah lama tak jumpa, sesekali adalah bertanya khabar. Jadi, bila dapat tahu arwah dimasukkan ke hospital, saya cuba luangkan masa menziarahi semalam.

"Namun, siapa sangka itu adalah pertemuan terakhir kami," kata Farouk.

Sementara itu, pelakon yang pernah bergandingan dengan Hail menerusi filem Sesejuk Air Mata Ibu, Aznah Hamid terkejut dengan pemergian penyanyi legenda itu.

Aznah yang baru pulang daripada urusan kerja di Kuantan, Pahang belum berkesempatan melawat arwah di hospital.

"Saya dapat tahu arwah sakit semalam dan bercadang nak melawat hari ini atau esok. Tapi, nampaknya hajat saya tak kesampaian kerana arwah terlebih dijemput Ilahi.

"Mengenali beliau, arwah adalah seorang yang sangat baik, berbudi bahasa dan tutur katanya sangat lembut. Arwah sangat menjaga hati kawan-kawan.

"Arwah sangat mengambil berat, itulah sifatnya sejak sebelum berkahwin lagi. Saya sebenarnya sudah lama tak jumpa arwah, kali terakhir berjumpa dengannya ketika meraikan pangkat Datuk yang diperoleh kira-kira dua tahun lalu.

"Tapi, sesekali kami bersembang di kumpulan WhatsApp, tapi tak sangka arwah pergi selepas seminggu dirawat di hospital," katanya.

Berita Harian X