Isnin, 6 Mei 2024 | 5:57pm
Ziana meluahkan rasa syukur kerana dapat membesarkan anak-anak seperti mana dibesarkan oleh orang tuanya. - NSTP/Aswadi Alias
Ziana meluahkan rasa syukur kerana dapat membesarkan anak-anak seperti mana dibesarkan oleh orang tuanya. - NSTP/Aswadi Alias

Ziana menangis anak-anak buat kejutan hari jadi

PETALING JAYA: Penyanyi Ziana Zain menyifatkan kejutan sambutan ulang tahun yang dirancang anak-anaknya adalah momen paling berharga buatnya, tahun lalu.

Ziana berkata, meskipun dihadiahkan hanyalah sepotong kek dan dihiasi sebatang lilin, namun ingatan dan tanda kasih sayang keempat-empat anaknya itu sudah cukup memadai.

"Saya jarang sambut hari lahir kerana ia bukanlah sesuatu yang diamalkan dalam keluarga. Tapi, kalau ada pihak sudi meraikan, saya amat berterima kasih.

"Cuma, ada satu momen yang saya masih ingat hingga hari ini. Kejadian berlaku pada tahun lalu. Ada satu malam saya terjaga daripada tidur dan mendapati anak-anak tiada.

"Tiba-tiba mereka muncul membawa sepotong kek siap dengan lilin sambil menyanyikan lagu selamat hari jadi. Saya menangis bila anak sulung, Muhammad Aiman membuat ucapan dan tak sangka mereka ingat tarikh lahir ibu mereka.

"Selepas itu barulah seorang demi seorang adik-adiknya buat ucapan sambil memeluk saya. Momen itu membuatkan saya sebagai ibu rasa sangat terharu," katanya kepada BH Online.

Majlis meraikan sambutan ulang tahun Ziana ke-56 tahun dihadiri rakan terdekat dan kelab peminat, Zianafolks. - NSTP/Aswadi Alias
Majlis meraikan sambutan ulang tahun Ziana ke-56 tahun dihadiri rakan terdekat dan kelab peminat, Zianafolks. - NSTP/Aswadi Alias

Sementara itu, pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain itu meluahkan rasa syukur kerana dapat membesarkan anak-anak seperti mana dibesarkan oleh orang tuanya.

"Sebagai anak dan abang, Muhammad Aiman mempunyai sifat mengambil berat terhadap saya dan adik-adiknya. Jika, ada antara kami teringin makan sesuatu, dia akan berusaha mendapatkannya.

"Pernah berlaku, saya teringin nak makan roti berinti daging yang pernah tular. Namun, agak sukar untuk dapatkannya kerana perlu beratur panjang untuk membelinya.

"Bagaimanapun, Muhammad Aiman belikan saya roti ini secara senyap-senyap. Walaupun terpaksa beratur panjang, dia tak kisah asalkan dapat memenuhi keinginan ibunya.

"Cara Muhammad Aiman itu mengingatkan saya kepada situasi mak dan abah yang sanggup buat apa sahaja untuk anak-anak. Bila kami adik-beradik sudah dewasa, giliran kami pula berusaha cuba memenuhi keinginan mereka.

"Justeru, bila melihat Muhammad Aiman buat perkara sama, saya percaya mereka belajar daripada apa yang saya pernah lakukan pada mak dan abah sebelum ini," luah Ziana dalam nada sebak.

Terdahulu, penyanyi Putus Terpaksa itu ditemui pada majlis Ziana Zain Birthday Event yang diadakan di Zukkini, Oasis Square, di sini, semalam.

Majlis meraikan sambutan ulang tahun Ziana ke-56 tahun itu turut dihadiri rakan terdekat dan kelab peminat, Zianafolks.

Berita Harian X