Ahad, 5 Mei 2024 | 11:26pm
Pelakon, Datuk Fauziah Nawi menerima Anugerah Khas Karviter atas kecemerlangan dan ketokohannya dalam bidang seni dan teater di Pangungg Eksperimen, Universiti Malaya. NSTP/GENES GULITAH
Pelakon, Datuk Fauziah Nawi menerima Anugerah Khas Karviter atas kecemerlangan dan ketokohannya dalam bidang seni dan teater di Pangungg Eksperimen, Universiti Malaya. NSTP/GENES GULITAH

Fauziah Nawi terima Anugerah Khas KARVITER

KUALA LUMPUR: Karnival Teater Universiti Malaya 2024 (KARVITER 24) mengiktiraf bintang veteran dan aktivis teater, Datuk Fauziah Nawi dengan Anugerah Khas KARVITER pada Anugerah KARTIVER 24 di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya (UM) di sini, malam tadi.

Fauziah diiktiraf atas kecemerlangan dan ketokohan dalam bidang seni dan teater sesuai dengan acara KARVITER iaitu pertandingan teater tahunan anjuran UM.

Fauziah yang mengabdikan diri kepada dunia seni lebih lima dekad, mengakui tidak pernah mengharapkan anugerah setinggi itu diberi kepadanya.

"Setiap kali diberi anugerah begini, saya tidak tahu cakap apa sebab tidak pernah terfikir mengenai anugerah. Namun, saya seronok balik ke sini (UM) kerana pada usia saya 18 tahun saya pernah bekerja di Jabatan Bendahari, Bangunan Canselor.

Pelakon, Datuk Fauziah Nawi menerima Anugerah Khas Karviter atas kecemerlangan dan ketokohannya dalam bidang seni dan teater di Pangungg Eksperimen, Universiti Malaya. NSTP/GENES GULITAH
Pelakon, Datuk Fauziah Nawi menerima Anugerah Khas Karviter atas kecemerlangan dan ketokohannya dalam bidang seni dan teater di Pangungg Eksperimen, Universiti Malaya. NSTP/GENES GULITAH

"Jadi, kehadiran saya seperti menggamit kenangan. Jujurnya, tidak pernah membayangkan semua ini, saya hanya buat kerja saya. Kalau orang nampak dan hargai, Alhamdulillah. Saya tidak pernah rasa hendak dapat apa-apa penghargaan," katanya.

Fauziah berkata, dunia teater banyak mengajarnya berusaha bersungguh-sungguh seperti nasihatnya kepada pelajar yang terbabit dalam bidang seni dan teater.

"Bukan sahaja teater, apa saja bidang kita ceburi, kita kena jadi cemerlang. Buat betul-betul. Seperti saya, bapa saya tak suka saya masuk dalam bidang ini. Beliau kata saya buka pintu fitnah. Bapa saya suruh saya belajar dan jadi pensyarah, tetapi itulah, saya budak pandai tapi pemalas.

"Jadi, apa yang saya boleh katakan, teater ini mengajar kita untuk bekerja keras dan tiada jalan pintas untuk berjaya. Zaman sekarang lebih banyak cabarannya, lebih ramai yang pandai, jadi kalau awak tidak rebut peluang, awak ketinggalan," katanya.

Malam Anugerah KARVITER 24 adalah kemuncak karnival yang berlangsung sejak 22 sehingga 30 April lalu.

Berita Harian X