Sabtu, 4 Mei 2024 | 7:54pm
Abby mendakwa pernah berbual dengan Marissa mengenai kriteria lelaki yang sesuai dijadikan calon suami, namun, tidak menyangka anaknya itu memilih jalan hidup berpoligami. Foto HM Online
Abby mendakwa pernah berbual dengan Marissa mengenai kriteria lelaki yang sesuai dijadikan calon suami, namun, tidak menyangka anaknya itu memilih jalan hidup berpoligami. Foto HM Online

Abby ralat, namun, reda anak pilih hidup berpoligami

KUALA LUMPUR: Biarpun dilihat menerima kehadiran menantu dengan tangan terbuka, namun, Abby Abadi mendakwa masih ralat dengan perkahwinan anak kedua, Marissa Dania bersama Ahmad Aslam.

Bagaimanapun, Abby mengharapkan yang terbaik buat rumah tangga Marissa dan Aslam.

"Masa itu, saya tidak tahu mereka hendak datang, tiba-tiba sahaja datang.

"Saya tidak tahu orang lain, tetapi, jujur saya sebagai ibu, masih ralat. Tetapi, saya terima kenyataan ini. Saya berharap dan doa yang terbaik untuk anak-anak," katanya.

Abby mendakwa pernah berbual dengan Marissa mengenai kriteria lelaki yang sesuai dijadikan calon suami, namun, tidak menyangka anaknya itu memilih jalan hidup berpoligami.

"Sebetulnya, untuk diri saya, saya bukan orang yang boleh berpoligami. Kami pernah bersembang hal itu. Tetapi ujian itu datang dan ternyata Allah ada perancangan sendiri.

"Saya pun tak tahu kenapa Marissa pilih posisi itu. Semua orang kalau ada pilihan mesti mereka mahukan yang terbaik... Saya tiada jawapan hendak dijelaskan," katanya ditemui BH Online, baru-baru ini.

Sementara itu, Abby memohon masyarakat memberi ruang kepada Marissa serta berhenti daripada melabel anaknya 'penyondol'.

"Saya akui anak buat kesilapan besar. Tetapi, saya nampak sekarang orang lebih suka salahkan perempuan apabila perkara begini berlaku.

"Bagi saya, dua-dua orang pun salah. Tetapi, perempuan paling teruk kena hingga digelar penyondol," katanya.

Abby berkata, dia melihat Marissa dan madunya, Umisya Mazlan boleh berbaik dalam tempoh singkat kerana mereka belajar agama dan tahu dosa atau pahala.

Berita Harian X