Khamis, 2 Mei 2024 | 1:37pm
Konsert Cinta Di Awan ditambah satu malam lagi di Arena of Stars, Genting Highlands pada 11 Ogos depan.
Konsert Cinta Di Awan ditambah satu malam lagi di Arena of Stars, Genting Highlands pada 11 Ogos depan.

Tiket licin kurang sejam, konsert Siti tambah satu malam lagi

KUALA LUMPUR: Tiket Konsert Cinta Di Awan yang disapu licin dalam tempoh kurang sejam ditambah satu malam lagi di Arena of Stars, Genting Highlands pada 11 Ogos depan.

Pengumuman itu dibuat penganjur, Resort World Genting menerusi perkongsian dalam Instagram (IG) hari ini.

"Perhatian kepada semua Sitizoners!! Berita baik untuk semua. Oleh sebab sambutan yang hangat, kami berikan satu konsert tambahan bagi Konsert Siti Nurhaliza Cinta Di Awan yang bakal berlangsung pada 11 Ogos depan.

"Jangan lepaskan peluang keemasan untuk menyaksikan kegemilangan Datuk Seri Siti Nurhaliza atas pentas yang megah ini," tulisnya.

Melalui hantaran sama, penganjur turut memaklumkan jualan tiket untuk malam kedua akan dibuka pada 6 Mei ini.

Sementara itu, meninjau ruangan komen ramai peminat Siti berasa teruja dan sudah bersedia kembali 'berperang' untuk mendapatkan tiket.

Terdahulu, ramai peminat penyanyi nombor satu negara itu meluahkan rasa kecewa apabila tiket konsert yang mula dijual pada 25 April lalu laris bagai goreng pisang panas.

Berkongsi keterujaan terhadap sambutan menggalakkan terhadap konsert, Siti dilaporkan berkata, sokongan itu memberi petanda dirinya harus memberikan yang terbaik kepada penonton konsert itu.

"Terima kasih kepada peminat atas kepercayaan dan sudah dapatkan tiket. Apa yang penting, apabila dapat sambutan dan saya kena bekerja keras untuk memberikan persembahan dengan impak terbaik.

"Alhamdulillah, terharu dan sangat berterima kasih. Ini pastinya akan memberikan saya, penganjur dan pasukan kerja lebih bersemangat mempersembahkan konsert yang diingati," katanya.

Berita Harian X