Rabu, 1 Mei 2024 | 4:01pm
Mengembara sendirian banyak membuka mata Ben, selain mengajarnya lebih berdikari. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Mengembara sendirian banyak membuka mata Ben, selain mengajarnya lebih berdikari. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Ben tak fikir nak kahwin, seronok mengembara solo

KUALA LUMPUR: Masih memegang status bujang, pelakon Ben Amir, 33, tidak kisah hidup solo, biarpun ramai rakannya sudah berkahwin dan menimang cahaya mata.

Ben atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Sabaruddin berkata, dia seronok menikmati kehidupan dengan mengembara secara solo.

"Dalam dunia, kita ada kita sahaja. Bagi saya, nak dapat kebahagiaan pertamanya untuk diri sendiri. Jadi, saya tidak kisah mengembara sendiri, ia lebih seronok," katanya yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem arahan Datuk Awie iaitu Rebel: Berontak Untuk Berotak di TGV The Starling Mall, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ben berkata, mengembara sendirian banyak membuka mata dan pada masa sama, mengajar dirinya lebih berdikari.

"Bagi saya, ia satu pengalaman yang kita semua kena cuba, 'backpacking' ke Vietnam, Laos, Filipina dan mana-mana. Belajar macam mana hidup dan sesat seorang.

"Pengalaman itulah yang akan saya cerita kepada anak-anak saya.

"Nak cakap soal pengalaman, saya hampir disamun di Kemboja sebab saya salah bual dengan seseorang, tapi tiada apa jadi.

"Saya tidak trauma dan Alhamdulillah dapat menikmati makanan sedap-sedap sebab saya pencinta makanan dan suka makan.

"Seterusnya, saya mahu ke Costa Rica, Amerika; Kathmandu, Nepal dan banyak tempat lagi," katanya.

Ben (dua dari kanan) bersama Awie dan barisan pelakon pada majlis tayangan perdana filem Rebel: Berontak Untuk Berotak di TGV The Starling Mall, baru-baru ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Ben (dua dari kanan) bersama Awie dan barisan pelakon pada majlis tayangan perdana filem Rebel: Berontak Untuk Berotak di TGV The Starling Mall, baru-baru ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Dalam pada itu, Ben turut menafikan dakwaan percutiannya ditaja.

Ben berkata, setiap perbelanjaan dikeluarkan untuk melancong adalah hasil titik peluhnya sendiri.

"Saya mengembara 'sendirian berhad'. Mana ada sesiapa taja.

"Bagi saya, tak relevan bila tengok orang 'travel' seorang diri sahaja maksudnya ditaja. Saya taja diri sendiri," katanya.

Mengulas perancangan mendirikan rumah tangga, Ben berkata, dia mahu fokus pada kerjaya dan memasang hasrat membintangi lebih banyak filem aksi.

"Saya masih tengah sibuk bekerja, malah jiwa bekerja dan nak jadi bintang filem aksi lebih tinggi selepas tengok lakonan saya menerusi filem Rebel: Berontak Untuk Berotak.

"Jadi, saya tak rasa nak kahwin dalam masa terdekat ini," katanya.

Bercerita mengenai Rebel: Berontak Untuk Berotak, Ben membawa watak Luka berkata, dia sudah lama menyimpan impian bekerjasama dengan Awie.

"Memang sudah lama saya nak bekerjasama dengan Awie, akhirnya impian terlaksana menerusi filem ini.

"Ini juga filem aksi saya yang pertama, jadi saya berharap orang boleh terima dengan baik," katanya.

Selain Ben dan Awie, filem Rebel: Berontak Untuk Berotak turut menampilkan MK K-Clique, Shiqin Kamal dan Azlan Komeng.

Rebel: Berontak Untuk Berotak mengisahkan mengenai perseteruan antara dua individu iaitu Luka (Ben) dan Bono (MK), meskipun berada dalam pertubuhan yang sama.

Dihasilkan dengan kos hampir RM1 juta, Rebel: Berontak Untuk Berotak akan menemui penonton di pawagam, esok.

Berita Harian X