Rabu, 1 Mei 2024 | 2:16pm
David hilang minat nak berniaga, tak fikir pasal duit dan ingat nak mati ketika terkena sihir, enam tahun lalu. - NSTP/Aswadi Alias
David hilang minat nak berniaga, tak fikir pasal duit dan ingat nak mati ketika terkena sihir, enam tahun lalu. - NSTP/Aswadi Alias

David hampir mati disihir ahli keluarga?

KUALA LUMPUR: Penerbit tersohor, David Teo mendakwa pernah terkena penyakit misteri hingga hampir meragut nyawanya akibat disihir oleh ahli keluarga terdekat.

David berkata, kejadian itu berlaku selepas menghadiri majlis pengebumian mendiang bapanya di Segamat, Johor, enam tahun lalu.

"Dua minggu selepas balik dari Segamat, saya mula tak dapat tidur dan pening kepala. Setiap hari menjelang senja, bacaan tekanan darah tinggi saya naik.

"Bermula jam 12 tengah malam hingga pagi, bacaan tekanan darah saya amat tinggi hingga boleh menyebabkan saya kena strok. Pada awalnya saya anggap itu normal kerana saya pun sudah berusia.

"Bagaimanapun, selepas berjumpa doktor dan membuat pemeriksaan, doktor sahkan saya bebas daripada penyakit darah tinggi.

"Saya dapat tahu yang saya terkena sihir selepas pegawai kanan saya menyedari ada sesuatu yang tak kena kepada saya. Tak dinafikan, sepanjang keadaan itu berlaku, saya sudah hilang minat nak berniaga, tak fikir pasal duit dan ingat nak mati sahaja.

"Bila rujuk kepada ustaz, barulah dapat tahu yang saya sudah terkena gangguan sihir. Ustaz menyarankan supaya saya segera berubat kerana jika dibiarkan, ia boleh membawa maut," katanya ditemui pada majlis Hari Raya Jangan Pandang Belakang 2 yang diadakan di Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Berkongsi lanjut keadaannya itu, David mendakwa, sihir tersebut menyebabkan tubuhnya tidak berfungsi secara normal dan keadaan itu berlaku selama sebulan.

"Bila cuaca panas, saya akan pakai baju berlapis-lapis seolah-olah berada dalam musim sejuk. Kalau pergi mana-mana tempat yang tak nampak cahaya matahari, saya akan menggigil dan jantung berdebar.

"Selera makan juga bertambah. Saya makan seperti kanak-kanak yang sedang membesar dan kerap makan. Berbeza keadaan saya sebelum ini yang jarang makan pada waktu malam.

"Ketika proses rawatan, saya dimaklumkan ustaz, individu tersebut menyihir saya dengan menghantar lintah ke dalam tubuh saya.

"Lintah itu akan musnahkan organ dalaman secara perlahan-lahan. Sebulan jugalah saya menderita sebelum pulih sepenuhnya," cerita David lagi.

David (kiri) bersama barisan pelakon filem pada majlis Hari Raya Jangan Pandang Belakang 2 di Bukit Jalil, malam tadi. - NSTP/Aswadi Alias
David (kiri) bersama barisan pelakon filem pada majlis Hari Raya Jangan Pandang Belakang 2 di Bukit Jalil, malam tadi. - NSTP/Aswadi Alias

Sementara itu, David yang juga Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG) berpuas hati dengan hasil kerja yang ditunjukkan pengarah filem Jangan Pandang Belakang 2 iaitu Pierre Andre.

"Meskipun 10 tahun Pierre tidak mengarah, tapi kemahirannya dalam menghasilkan naskhah seram masih belum hilang.

"Kali pertama dalam sejarah saya pergi ke lokasi penggambaran filem seram, bulu roma saya berdiri. Pierre adalah pilihan tepat untuk mengarahkan filem ini," kata David.

Majlis itu turut menayangkan teaser awal filem seram tersebut. Ia turut dihadiri pelakon seperti Alif Hadi, Ruminah Sidek dan Hafidzudin Fazil.

Filem Jangan Pandang Belakang 2 adalah kesinambungan daripada kisah saka keluarga Opah yang mencari tuan baharu untuk didampingi, namun ada sesuatu yang menghalang dan membawa pelbagai kejadian menyeramkan.

Menampilkan barisan pelakon seperti Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Khatijah Tan dan Cat Farish, filem berkenaan dijangka menemui penonton hujung tahun ini.

Berita Harian X