Ahad, 28 April 2024 | 3:05pm
Sambutan Aidilfitri Khai berbeza selepas pemergian arwah ibu, namun cuba alihkan rasa sunyi dengan meluangkan masa bersama keluarga. - NSTP/Rohanis Shukri
Sambutan Aidilfitri Khai berbeza selepas pemergian arwah ibu, namun cuba alihkan rasa sunyi dengan meluangkan masa bersama keluarga. - NSTP/Rohanis Shukri

Balik raya sekejap, Aidilfitri hambar tanpa arwah ibu

KUALA LUMPUR: Pemergian ibunda tersayang, Allahyarham Rosnah Mohd. awal tahun ini menjadikan sambutan Aidilfitri penyanyi Khai Bahar hambar, tahun ini.

Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharudin berkata, sambutan Aidilfitri berbeza apabila arwah tiada, namun cuba alihkan rasa sunyi dengan meluangkan masa bersama keluarga.

"Perasaan kehilangan arwah tak boleh hilang. Kadang-kadang saya cuba menggembirakan diri dengan sokongan keluarga, rakan dan peminat. Mereka inilah kekuatan saya.

"Tapi, perasaan rindu tetap tak boleh dilepaskan. Bila seorang diri rasa sunyi teringatkan arwah.

"Saya ambil cuti seminggu sambut Hari Raya, tapi disebabkan sambutan kali ini berbeza, balik kampung pun rasa sunyi.

"Saya hanya berada di kampung hingga Aidilfitri ketiga sahaja. Selepas itu, bercuti bersama adik ke Pulau Pinang.

Khai meraikan tetamu dalam majlis rumah terbuka bersama peminat di SW Banquet Hall, semalam. - NSTP/Rohanis Shukri
Khai meraikan tetamu dalam majlis rumah terbuka bersama peminat di SW Banquet Hall, semalam. - NSTP/Rohanis Shukri

"Nak kata beraya tidak bermakna, tak boleh juga. Saya tetap kena beraya, tapi tanpa arwah jadi berbeza," katanya yang ditemui di rumah terbuka bersama peminat di SW Banquet Hall, di sini, semalam.

Tambah Khai, apa yang boleh dilakukan melepaskan kerinduan dengan menziarahi kubur arwah pada pagi raya.

"Itu sahaja yang saya boleh buat, selain mendoakan arwah. Selalunya arwah akan telefon bila saya akan balik beraya, tapi kali ini tiada.

"Aktiviti memasak dengan arwah pun sudah tiada. Rakan baik arwah sahaja banyak membantu memasak.

"Sedikit sebanyak terubat juga nak makan kuah kacang masakan arwah," katanya.

Bagi memperingati arwah ibu, Khai juga tampil dengan jambangan tudung Khairose sempena sambutan Hari Ibu, tidak lama lagi.

"Khairose itu pun diambil dari nama arwah, Rosnah, Jadi, saya keluarkan koleksi jambakan bunga yang dihasilkan daripada tudung sempena sambutan Hari Ibu pada 12 Mei ini.

"Ia bersesuaian untuk hadiahkan kepada ibu. Tujuan saya buat kempen ini sebab nak mengubati kerinduan kepada arwah.

"Saya mahu tengok orang lain menyambut hari istimewa ini bersama ibu.

"Sesiapa yang masih ada ibu, sayangilah ibu anda. Saya tiada ralat dalam hidup sebab banyak membahagiakan arwah, tiada sakitkan hati dan saya percaya arwah bahagia dengan apa yang saya buat.

"Saya bersemangat sebab inilah yang arwah mahu saya buat seperti memiliki perniagaan Khairose sempena namanya. Arwah gembira dan restu," katanya.

Berita Harian X