Ahad, 28 April 2024 | 2:29pm
Rumah tangga Rusdi dan Sharon Paul dikhabarkan bagai retak menanti belah selepas komposer terkenal itu membuat pendedahan, tahun lalu.
Rumah tangga Rusdi dan Sharon Paul dikhabarkan bagai retak menanti belah selepas komposer terkenal itu membuat pendedahan, tahun lalu.

Rushdi takkan kongsi kisah rumah tangga

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Rusdi Ramli memilih tidak berkongsi kehidupan peribadi dan kisah rumah tangganya.

Lebih selesa membiarkan persoalan status rumah tangga bersama komposer terkenal, Sharon Paul mencetuskan tanda tanya, Rusdi berkata, dia menepis tanggapan ramai bahawa artis milik masyarakat.

"Kalau dahulu, kita ditanam, artis ini hak masyarakat. Sejak mula berkecimpung, saya tak pernah percaya atau berpegang bahawa artis milik masyarakat.

"Bagi saya, kerja pelakon atau artis itu sahaja jadi hak masyarakat. Tetapi, soal peribadi tetap hak kami.

"Tak adil sebab kami pun manusia. Kalau bidang lain seperti arkitek, bila bangunan dibina runtuh, tak ada orang bertanya siapa isterinya.

"Jadi, kenapa kami pun tidak begitu? Jadi, jika hasil kerja buruk, hentamlah. Tapi, kalau soal peribadi, biarlah jadi hak kami.

Rusdi lebih selesa menjaga privasi kerana berpendapat apabila terlalu banyak perkongsian kisah peribadi akan lebih banyak kerugian.
Rusdi lebih selesa menjaga privasi kerana berpendapat apabila terlalu banyak perkongsian kisah peribadi akan lebih banyak kerugian.

"Kalau tidak, tiada apa yang boleh disimpan untuk diri sendiri. Dari penjelasan ini, biarlah saya simpan soal peribadi saya.

"Saya berterima kasih jika difahami," katanya yang ditemui pada sidang media drama bersiri, Framed di Dadi Cinema, Pavilion, di sini, baru-baru ini.

Rusdi berkata, dia lebih selesa menjaga privasi kerana berpendapat apabila terlalu banyak perkongsian kisah peribadi akan lebih banyak kerugian kepada banyak pihak.

"Sebab saya percaya, kadang-kadang bila terlalu terbuka sampai cerita peribadi pun nak diberitahu akhirnya bukan sahaja tak menguntungkan, tapi memudaratkan banyak pihak.

"Kenapa nak buat semua benda ini, sedangkan boleh elak?" katanya.

Bagaimanapun, Rusdi berkata, dia menghormati pilihan dan keputusan sesetengah artis lain selesa berkongsi kehidupan peribadi, tapi tidak bagi dirinya.

"Itu hak masing-masing. Sesetengah orang tak kisah. Kadang-kadang, mungkin mereka suka cerita keluar setiap hari. Kalau tidak, tak adalah cerita.

"Saya pula lebih baik saya diam daripada bercerita benda yang tiada. Hari ini, saya datang sebab drama,

"Kalau tak, saya tiadalah. Jadi, adalah sebab saya ada di khalayak sebegini, sebab kerja.

"Bahkan, kalau acara yang saya tak terbabit, saya takkan pergi. Tak diundangkan.

"Berapa banyak festival filem yang saya tak dijemput dan tak ada di festival filem itu," katanya.

Sebelum ini, rumah tangga Rusdi yang dibina bersama komposer Sharon Paul dikhabarkan bagai retak menanti belah.

Sharon menerusi satu temubual mengaku bertahan dalam perkahwinan dengan Rusdi kerana anak-anak.

Rusdi, 54, dan Sharon, 47, berkahwin pada 2008. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Reo Ridza, 15, dan Ryan Ridza, 12.

Sebelum itu, Rusdi pernah mendirikan rumah tangga dan memiliki cahaya mata lelaki, Efiezal Ridza, 33.

Berita Harian X