Ahad, 28 April 2024 | 1:01pm
Fasha menganggap dirinya wanita bertuah, Aidil bukan sahaja peneman hidup, malah, sahabat yang boleh berkongsi semua perkara. - Foto IG Fasha Sandha
Fasha menganggap dirinya wanita bertuah, Aidil bukan sahaja peneman hidup, malah, sahabat yang boleh berkongsi semua perkara. - Foto IG Fasha Sandha

Fasha peluk suami tepi jalan

KUALA LUMPUR: Biarpun sibuk dengan jadual penggambaran, aktres sensasi, Fasha Sandha, 40, berusaha mencari masa untuk terus memupuk kemesraan bersama suami tercinta.

Fasha sanggup mencari masa senggang untuk berjumpa suaminya, pelakon, Aidil Aziz, biarpun di tepi jalan, sebelum masing-masing bergerak ke lokasi penggambaran.

"Apabila saya baru keluar untuk pergi kerja, dia pula balik. Kami rancang jumpa di tepi jalan.

"Tidak kisah kalau peluk cium di tepi jalan sebab jadual kerja kami yang 'lari'' selama lebih kurang 10 hari.

"Tetapi, biar apa pun, perkara itu merapatkan hubungan kami suami isteri. Sebelum ini, tidak pernah sampai lebih seminggu kami berada dalam situasi begitu.

"Saya tak pernah sangka kami akan sesibuk itu, berjumpa di tepi jalan, salam sebelum pergi kerja dan sebagainya," katanya kepada BH Online.

Fasha juga menganggap dirinya wanita bertuah kerana dikurniakan suami seperti Aidil. Bagi dirinya, Aidil bukan sahaja peneman hidup, malah, sahabat yang boleh berkongsi semua perkara.

"Walaupun ada turun naik dalam sesuatu hubungan, Alhamdulillah, rumah tangga kami masih utuh. Saya selalu berdoa agar perkahwinan dan persahabatan kami kekal selamanya.

"Kami boleh kongsi semua perkara. Kami juga boleh jalani kehidupan sederhana. Dengan Aidil, saya tiada masalah bonceng motosikal atau naik kenderaan awam untuk melancong," katanya.

Fasha menghormati Aidil sebagai ketua keluarga sebelum melakukan sesuatu perkara. - Foto IG Fasha Sandha
Fasha menghormati Aidil sebagai ketua keluarga sebelum melakukan sesuatu perkara. - Foto IG Fasha Sandha

Ditanya apakah timbul rasa kesal apabila komitmen seni tidak henti-henti hingga membataskan keakraban mereka, Fasha sentiasa berfikiran positif.

"Kami okay dan tidak pernah menyesal pun. Maksudnya, kami suami isteri kena cari cara terbaik untuk bertemu. Macam orang bercinta. Walaupun sekejap, ada masa untuk kami.

"Kadang-kadang, kalau Aidil habis awal, dia datang ke set penggambaran saya sekejap dan balik. Kesibukan ini mengeratkan lagi hubungan suami isteri. Ia tidak menjarakkan kita sebab kami faham kerja masing-masing," katanya.

Sementara itu, Fasha juga tidak pernah melupakan hak anak-anak untuk bertemu bekas suaminya, Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai serta keluarga.

Namun, katanya, dia menghormati Aidil sebagai ketua keluarga sebelum melakukan sesuatu perkara.

Fasha dan Jejai berkahwin pada 27 April 2012, namun bercerai pada 20 Januari 2016. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Putra Rayfal Ramli, 11, dan Putri Raysha Jemyma, 9.

Fasha kemudian berkahwin dengan pelakon Aidil Aziz pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Aisha Amaira yang kini berusia tiga tahun.

Berita Harian X