Sabtu, 27 April 2024 | 3:01pm
Stacy mahukan kepuasan dengan menghimpunkan lebih ramai peminat dalam konsert berskala besar. - Foto IG Stacy
Stacy mahukan kepuasan dengan menghimpunkan lebih ramai peminat dalam konsert berskala besar. - Foto IG Stacy

Stacy impi konsert solo berskala besar

KUALA LUMPUR: Tanyalah mana-mana penyanyi, pastinya impian mengadakan konsert berskala besar menjadi antara satu 'wish list' sepanjang kerjaya sebagai penghibur.

Begitu juga penyanyi kelahiran Sabah, Stacy Anam, 34, yang sudah berkecimpung dalam dunia nyanyian sejak 16 tahun lalu, tentu impikan mengadakan konsert berskala besar.

Pernah tampil dalam Konsert DFP Present Stacy di Dewan Filharmonik Petronas tahun lalu, namun pelantun lagu Pelangi Senja itu mahukan lebih kepuasan dengan menghimpunkan lebih ramai peminat.

"Saya pernah jayakan konsert solo bersama DFP, namun tentunya saya mahukan konsert berskala lebih besar.

"Saya sudah mencuba banyak cabang seperti menyanyi, menari, hasilkan lagu dan lirik, jadi saya sentiasa tercari-cari apalagi yang boleh dilakukan termasuklah mengadakan konsert.

"Saya sudah 16 menceburi bidang muzik, tetapi masih belum berpeluang mengadakan konsert berskala besar.

"Jadi, saya harap penyertaan menerusi program realiti, The Hardest Singing Show terbitan Astro yang bakal menemui penonton pada Mei ini dapat buka mata penganjur konsert.

"Siapa tahu kemunculan setiap minggu menerusi program ini menyebabkan ada penganjur konsert nampak kebolehan saya, seterusnya menawarkan konsert," katanya kepada BH Online.

Stacy jadikan platform program realiti untuk asah bakat kerana setiap minggu perlu fikirkan lagu dan konsep persembahan. - Foto IG Stacy
Stacy jadikan platform program realiti untuk asah bakat kerana setiap minggu perlu fikirkan lagu dan konsep persembahan. - Foto IG Stacy

Kerap menyertai pelbagai program realiti bermula dengan Gang Starz bersama Kumpulan Evoke pada 2007, Stacy berkata, dia menyertai pertandingan realiti bukan disebabkan sukakan pertandingan.

Sebaliknya, katanya, platform pertandingan bagus untuk mengasah bakat sebagai penyanyi dan penghibur, selain persiapan untuknya mengadakan konsert.

"Saya memang banyak sertai pertandingan sejak dulu, tapi bukan suka-suka. Saya jadikan platform ini untuk asah bakat saya kerana setiap minggu kena fikirkan lagu dan konsep persembahan.

"Jadi, ini adalah satu peluang sangat baik untuk penyanyi memperbaiki mutu persembahan dengan bimbingan dan teguran juri.

"Semua ini takkan datang sendiri, tapi banyak ilmu berharga diperoleh apabila menyertai program realiti.

"Saya sedar banyak kelemahan, jadi saya kenalah rebut peluang yang datang untuk perbaiki diri.

"Mungkin penyertaan saya dalam program realiti boleh dijadikan sebagai persiapan sebelum akhirnya jayakan konsert berskala besar, suatu hari nanti," kata juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu.

Berita Harian X