Jumaat, 26 April 2024 | 11:07am
Amyra bersama dua cahaya mata, Aqeef Anaqi dan Ayra Aryssa yang memiliki akaun laman sosial sejak kecil. - Foto IG Amyra Rosli
Amyra bersama dua cahaya mata, Aqeef Anaqi dan Ayra Aryssa yang memiliki akaun laman sosial sejak kecil. - Foto IG Amyra Rosli

Tak biar anak kendali media sosial

KUALA LUMPUR: Kebimbangan anak terdedah dengan unsur negatif pada usia muda dan kesihatan mental terganggu menyebabkan keputusan kerajaan menetapkan had umur bagi pemilik akaun media sosial mendapat sokongan ramai.

Ini termasuk, pelakon dan pengacara, Amyra Rosli yang juga ibu kepada sepasang cahaya mata, Aqeef Anaqi, 7, dan Ayra Aryssa, 4.

Meskipun dua cahaya matanya memiliki akaun media sosial dan boleh diakses menerusi telefon bimbit, namun Amyra dan suami, Amar Baharin tidak membenarkan anak-anak melayari laman sosial tanpa dipantau mereka.

"Saya buka akaun Instagram (IG) untuk anak-anak kerana mereka juga terbabit dalam kempen yang memerlukan membuat hantaran di platform berkenaan.

"Bagaimanapun, hanya saya dan Amar sahaja yang akan buat tugasan ini memandangkan mereka masih kecil dan tidak tahu apa-apa mengenainya.

"Kami benarkan anak-anak melayari IG untuk tunjuk hasil kerja yang mereka lakukan selama ini. Itupun di bawah pengawasan kami.

"Lagipun, kata laluan untuk akses telefon bimbit kami tak kongsi. Jika ingin buka IG, mereka perlu meminta kata laluan terlebih dahulu," katanya kepada BH Online.

Amyra dan suami, Amar Baharin tidak membenarkan anak-anak melayari laman sosial tanpa dipantau mereka. - Foto IG Amyra Rosli
Amyra dan suami, Amar Baharin tidak membenarkan anak-anak melayari laman sosial tanpa dipantau mereka. - Foto IG Amyra Rosli

Meskipun bersetuju syarat ditetapkan kerajaan, itu pengacara program Nona percaya perkara itu tetap ada pro dan kontra.

"Untuk kata mengehadkan bergantung kepada apa yang anak-anak hendak lihat. Ada separuh bersetuju dan ada juga tidak menyokong.

"Bila tak setuju, bermakna ibu bapa risau dengan unsur negatif yang timbul seperti kecaman artis dalam media sosial.

"Tapi, ada juga bagusnya mengenai media sosial ini apabila ia digunakan untuk tujuan pembelajaran. Contohnya, dalam YouTube.

"Namun seperti yang dikatakan, semuanya perlu dipantau supaya mereka tidak terdedah dengan kandungan tidak sepatutnya terutama membabitkan perkara keganasan.

"Kami tidak mahu apa yang mereka lihat dalam media sosial akan mempengaruhi kelakuan di rumah. Ini kerana mereka ada ibu bapa, adik dan abang," jelas pelakon drama rantaian Jangan Menangis Cinta ini.

Amyra mengulas saranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kepada ibu bapa untuk memastikan anak-anak berusia di bawah 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, saranan itu dibuat kerana MCMC mendapati bahawa kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun tidak sesuai menggunakan mana-mana media sosial.

Berita Harian X