Khamis, 25 April 2024 | 6:43pm
Konsert Siti Nurhaliza Cinta Di Awan bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 10 Ogos depan.
Konsert Siti Nurhaliza Cinta Di Awan bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 10 Ogos depan.

Tiket konsert Siti Nurhaliza licin dalam masa sejam

KUALA LUMPUR: Peminat penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti

Nurhaliza membuktikan tiada istilah jemu menyaksikan persembahan penyanyi kesayangan ramai apabila tiket Konsert Cinta Di Awan di Arena of Stars, Genting Highlands pada 10 Ogos depan licin dalam tempoh kurang sejam selepas kaunter pembelian dibuka.

Pada Mac lalu, Siti menganjurkan konsert berskala besar, Sebuah Epitome: Saya Siti Nuhaliza dan akan menghiburkan peminat di Singaoura menerusi Konsert Fenomena pada 28 dan 29 Jun depan.

Kedua-dua konsert itu turut melakar sejarah apabila tiket habis terjual dalam masa yang singkat.

Berkongsi keterujaan terhadap sambutan mengalakkan terhadap konsert, Siti berkata, sokongan itu memberi petanda dirinya harus memberikan yang terbaik kepada penonton konsert itu.

"Terima kasih kepada peminat atas kepercayaan dan sudah dapatkan tiket. Apa yang penting, apabila dapat sambutan dan saya kena bekerja keras untuk memberikan persembahan dengan impak terbaik.

Sokongan peminat beri petanda Siti harus memberikan persembahan yang terbaik kepada penonton dalam setiap konsert.
Sokongan peminat beri petanda Siti harus memberikan persembahan yang terbaik kepada penonton dalam setiap konsert.

"Alhamdulillah, terharu dan sangat berterima kasih. Ini pastinya akan memberikan saya, penganjur dan pasukan kerja lebih bersemangat mempersembahkan konsert yang diingati," katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu turut menyifatkan apa yang berlaku adalah usaha keras peminat yang tidak berpeluang untuk menyaksikan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza.

"Saya percaya ramai dalam kalangan peminat terlepas peluang menyaksikan Konsert Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza berusaha agar dapat membeli tiket untuk Konsert Cinta Di Awan," ungkap Siti.

Sementara itu, menerusi perkongsian dibuat peminat dalam media sosial. rata-rata gembira kerana berjaya dalam 'peperangan'untuk mendapatkan tiket konsert.

Bagaimanapun, ada juga yang meluahkan perasaan kecewa kerana terlepas peluang yang sekian lama dinantikan.

Terdahulu, BH melaporkan Konsert Cinta Di Awan itu memberi makna tersendiri buat penerima trofi Anugerah Seri Perak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 kerana Ogos adalah sambutan ulang tahun perkahwinannya dengan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Bukan itu sahaja, malah konsert itu mengingatkan Siti kembali kepada momen manis penganjuran Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) yang sebelum ini sering diadakan di pusat peranginan itu.

Berita Harian X