Khamis, 25 April 2024 | 3:01pm
Lana tidak mahu terlalu drastik mengatakan dirinya sudah berhijrah, namun dalam fasa cuba menyesuaikan diri. - Foto IG Lana Nodin
Lana tidak mahu terlalu drastik mengatakan dirinya sudah berhijrah, namun dalam fasa cuba menyesuaikan diri. - Foto IG Lana Nodin

Idam watak wanita bertudung jahat

KUALA LUMPUR: Biarpun dalam proses membiasakan diri berhijab, bukanlah bermakna Lana Nodin, 44, perlahan-lahan mengatur langkah meninggalkan dunia lakonan.

Sebaliknya, Lana atau nama sebenar, Mazlina Hassan Nodin mahu cuba menghidupkan variasi watak dengan imej baharunya itu, sekaligus memperlihatkan sisi lakonan berbeza.

"Saya masih berlakon, jangan ingat saya tidak lagi beraksi. Mungkin selepas ini, watak jahat bertudung saya boleh bawa bagi menggantikan Liza Abdullah," katanya sambil tertawa.

Mengulas lanjut mengenai seni lakon, Lana mahu mencuba membawa karakter yang dianggap i luar zon selesa.

"Saya mahu cuba watak jahat wanita bertudung. Selalunya watak jahat, tidak bertudung... Sangat klise.

"Jadi, saya mahu cabar diri bawa watak kampung atau watak antagonis. Setakat ini, saya belum dapat tawaran lagi. Mungkin orang belum tahu saya sudah bertudung dan masih berlakon.

"Tahun lalu, saya jayakan dua drama untuk slot Akasia dan Samarinda. Namun, salah satu drama terbabit 'sangkut' berikutan ada seorang pelakon lelaki bermasalah terbabit.

"Jadi, drama tersebut 'hold' sampai sekarang, saya tidak tahu perbincangan antara syarikat produksi dan stesen televisyen (TV).

"Ada juga drama yang sepatutnya penggambaran dilakukan Ramadan lalu, namun, tergendala sebab belum dapat 'hero'. Mungkin selepas Aidilfitri projek itu disambung," katanya.

Lana bersama suami, Mohd Daud dan dua cahaya mata ketika meraikan Syawal, baru-baru ini. - Foto IG Lana Nodin
Lana bersama suami, Mohd Daud dan dua cahaya mata ketika meraikan Syawal, baru-baru ini. - Foto IG Lana Nodin

Bagaimanapun, Lana tidak menafikan menapis tawaran lakonan berikutan komitmen sebagai isteri dan ibu. Selain itu, Lana menguruskan perniagaan bakeri.

"Saya teliti siapa pelakon terbabit, lokasi penggambaran dan sebagainya. Kita ada ada anak, jadi, sukar kita hendak luangkan masa yang lebih di set penggambaran.

"Saya tengok dengan siapa saya digandingkan. Minta maaf, bukan saya tidak mahu berlakon dengan bakat baharu, namun, disiplin mereka 'ke laut' (tidak berdisiplin).

"Saya pula mulut macam 'puaka'. Kalau lambat atau sebagainya, saya tegur. Kita mahu muhasabah diri, berubah ke arah lebih baik, jadi saya mahu menjaga, biarlah saya tengok siapa pelakon terbabit. Kalau okay, saya terima," katanya yang mementingkan soal keselesaan di lokasi penggambaran.

Mengenai penampilan baharunya itu, Lana bagaimanapun tidak mahu terlalu drastik mengatakan dirinya sudah berhijrah.

"Saya dalam fasa mencuba dan menyesuaikan diri. Iyalah umur pun sudah masuk 45 tahun. Inilah masanya nak mencuba. Sebenarnya saya mencuba berhijab ini sejak bulan puasa lagi," katanya.

Lana berkata, dia turut mendapat nasihat dari sahabatnya, pelakon, Lisdawati mengenai perubahan imej bersesuaian dengan usia mereka yang menghampiri usia 50 tahun.

Lana dan suaminya, David atau nama Islam, Mohd Daud McKienzi mendirikan rumah tangga pada 15 Mei 2015. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata hasil perkongsian hidup.

Berita Harian X