Khamis, 25 April 2024 | 1:01pm
Pansha berharap kerajaan perlu memperhalusi beberapa aspek sebelum pelaksanaan caruman PERKESO sebagai prasyarat mendapatkan SPP dibuat sebagai penambahbaikan terhadap inisiatif itu.
Pansha berharap kerajaan perlu memperhalusi beberapa aspek sebelum pelaksanaan caruman PERKESO sebagai prasyarat mendapatkan SPP dibuat sebagai penambahbaikan terhadap inisiatif itu.

GAFEMA syor syarat diperluas, diperhalusi

KUALA LUMPUR: Persatuan seni utama dalam industri perfileman tempatan menyambut baik langkah kerajaan menjadikan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terhadap kru dan tenaga kreatif yang terbabit dalam kerja produksi sebagai prasyarat dalam permohonan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

Presiden Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA), Pansha berkata, GAFEMA menyifatkan usaha yang sudah lama diperjuangkan persatuan terbabit mampu memberi manfaat kepada lebih 4,500 penggiat industri seni kreatif tanah air.

"Usaha yang diperjuangkan persatuan berkaitan industri perfileman tempatan di bawah GAFEMA kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kini menjadi realiti.

"Secara langsung tajaan daripada kerajaan ini memberi manfaat yang baik kepada lebih 4,500 penggiat seni menerusi faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, orang tanggungan, pengurusan jenazah, pemulihan dan pinjaman pendidikan," katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Pansha berharap kerajaan perlu memperhalusi beberapa aspek sebelum pelaksanaan caruman PERKESO sebagai prasyarat mendapatkan SPP dibuat sebagai penambahbaikan terhadap inisiatif itu.

"Ada beberapa perkara yang perlu dihalusi FINAS dan PERKESO sebelum pelaksanaan dibuat agar inisiatif yang baik ini, bukan hanya untuk tahun pertama dan lebih 4,500 penggiat seni, tetapi untuk keseluruhan penggiat seni yang terbabit dalam industri kreatif.

"Pada masa sama, kita mahu ia ada kesinambungan pelaksanaan pada masa akan datang.

"Kefahaman caruman PERKESO menjadi prasyarat wajib melalui kelulusan SPP hanya membabitkan penggiat seni yang bekerja dalam projek penggambaran. Sedangkan ada kategori lain perlu dilindungi.

"Industri kreatif juga perlukan pangkalan data setempat industri sebagai rujukan atas talian. Ini bagi memudahkan FINAS, penerbit dan penggiat seni menyemak tarikh luput tahunan caruman PERKESO pada masa akan datang," ujarnya.

Sehubungan itu, GAFEMA menyarankan supaya dianjurkan pertemuan antara agensi kerajaan dan penggerak industri bagi memberi penjelasan lanjut terhadap keputusan dibuat.

"Pencerahan terperinci kepada penggiat industri kreatif harus dibuat agar tidak tersasar daripada tujuan asal berkaitan kebajikan industri seperti yang pernah dicadangkan GAFEMA kepada FINAS.

"Perbincangan untuk pelaksanaan lanjut bersama pemegang taruh industri kreatif juga perlu dilakukan agar tidak membebankan penerbit selaku majikan kepada industri seni dan penguatkuasaan melalui SPP," katanya.

Berita Harian X