Rabu, 24 April 2024 | 3:01pm
Fasha, suami dan anak-anak bersama Raja Noora Ashikin ketika mengunjungi keluarga bekas suami pada Syawal kedua. - Foto IG Fasha Sandha
Fasha, suami dan anak-anak bersama Raja Noora Ashikin ketika mengunjungi keluarga bekas suami pada Syawal kedua. - Foto IG Fasha Sandha

Fasha jaga hubungan baik dengan keluarga Jejai

KUALA LUMPUR: Pelakon Fasha Sandha masih menjaga hubungan baik bersama keluarga bekas suami, Datuk Rizal Ashram atau Jejai bagi memupuk suasana harmoni supaya dapat membesarkan anak-anak dalam keadaan baik.

Keakraban Fasha bersama ibu bapa Jejai, iaitu Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah dapat dilihat apabila mereka masih mengekalkan tradisi berbuka puasa dan beraya bersama.

Justeru, pemilik nama lengkap Nur Fasha Sandha Hassan, 40, pastinya bertandang ke rumah keluarga bekas suami untuk berziarah dan mengeratkan silaturahim dalam meraikan pada Aidilfitri.

"Saya masih menjaga hubungan baik dengan keluarga bekas suami. Walaupun kami bukan lagi suami isteri, tapi ibu bapanya masih lagi mentua saya. Ia adalah hubungan tidak akan putus sampai bila-bila, Alhamdulillah.

"Saya juga beruntung kerana ada bekas mentua yang sangat menyayangi anak-anak saya. Ramadan lalu, kami ada berbuka puasa bersama.

"Saya anggap kehidupan saya penuh warna sebab ada keluarga besar. Keluarga bekas suami juga masih menerima saya, jadi rasa kehidupan ini sangat baik," katanya kepada BH Online.

Fasha bersama suami dan tiga cahaya mata pada Aidilfitri. - Foto IG Fasha Sandha
Fasha bersama suami dan tiga cahaya mata pada Aidilfitri. - Foto IG Fasha Sandha

Pelakon filem Malang Si Puteri itu memberitahu, dia mengambil langkah mengekalkan dan memupuk keharmonian bersama keluarga bekas suami kerana mahu anak-anak mendapat kasih sayang sebaiknya.

"Hubungan ini takkan akan putus sampai bila-bila dan anak-anak perlu menyaksikan ibu bapa mereka harmoni walaupun sudah berpisah.

"Kesihatan mental anak-anak sangat penting dan saya mahu mereka membesar dengan kasih sayang dalam berkeluarga," katanya.

Terdahulu, Fasha dan Jejai mendirikan rumah tangga pada 27 April 2012, namun bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan, dikurniakan sepasang cahaya mata, Putra Rayfal Ramli, 11, dan Putri Raysha Jemyma, 9.

Kemudiannya, Fasha berkahwin dengan pelakon Aidil Aziz pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Aisha Amaira yang kini berusia tiga tahun.

Berita Harian X