Rabu, 24 April 2024 | 9:17am
Kaka tak mampu menahan air mata apabila berkongsi kisah sambutan Aidilfitri tanpa arwah ibu dan kakak, tahun ini. - NSTP/Serimah Mohd Sallehuddin
Kaka tak mampu menahan air mata apabila berkongsi kisah sambutan Aidilfitri tanpa arwah ibu dan kakak, tahun ini. - NSTP/Serimah Mohd Sallehuddin

Aidilfitri hambar tanpa arwah ibu, kakak

KUALA LUMPUR: Pemergian dua insan tersayang membuatkan Aidilfitri penyanyi Kaka Azraff terasa cukup hambar, tahun ini.

Dua insan tersayang iaitu ibu dan kakak Kaka dijemput Ilahi dalam tempoh kurang setahun.

Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff berkata, sepatutnya Syawal buat pertama kali tanpa ibu, Allahyarham Redida Aziz yang meninggal dunia pada Mei tahun lalu.

Namun, katanya, siapa sangka apabila mereka sekeluarga diuji dengan pemergian kakak, Allahyarham Noor Afida, 39, empat hari sebelum umat Islam menjalani ibadah puasa.

"Arwah kakak mengalami jangkitan kuman pada otak selepas demam berpanjangan selama dua minggu.

"Pemergiannya cukup mengejutkan dan sangat memberikan kesan, apatah lagi, arwah meninggalkan empat cahaya mata masih kecil berusia antara 3 hingga 14 tahun.

"Kami ingatkan beraya tanpa mama yang meninggal dunia tahun lalu, tapi tak sangka beraya tanpa kakak juga," katanya kepada BH Online.

Arwah ibu (kanan) dan kakak Kaka meninggal dunia dalam tempoh kurang setahun. - Foto IG Kaka Azraff
Arwah ibu (kanan) dan kakak Kaka meninggal dunia dalam tempoh kurang setahun. - Foto IG Kaka Azraff

Kaka berkata, biarpun sudah sebulan pemergian arwah yang juga anak kedua daripada empat beradik, namun sehingga hari ini masih tewas setiap kali berbicara mengenai arwah.

Bagaimanapun, kata Kaka, sambutan Aidilfitri tetap disambut seperti biasa walaupun dengan hati masih bersedih.

"Sebenarnya saya susah nak beriya sambut raya, tapi mengenangkan anak-anak dan anak saudara, kami sambut juga raya seperti keluarga lain.

"Kalau bersedih sekali pun takkan sampai nak halang anak-anak merasai keseronokan sambut Aidilfitri.

"Jadi, memikirkan suami dan anak-anak, saya dan adik-beradik lain tetap

buat persiapan," katanya.

Ujar Kaka lagi, dia dan adik bongsunya kini membantu abang iparnya menjaga anak-anak saudaranya.

Katanya, adik bongsu yang juga memiliki tiga cahaya mata menawarkan diri untuk menjaga mereka.

"Kini mereka sudah menjadi tanggungjawab kami, adik bongsu tawar diri jaga anak-anak saudara ketika abang ipar bekerja.

"Saya akan mengambil alih jaga anak-anak saudara pada hujung minggu. Saya dan anak-anak saudara memang rapat sebelum saya kahwin lagi," katanya.

Berita Harian X