Selasa, 23 April 2024 | 5:27pm
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Caruman PERKESO jadi prasyarat lulus Sijil Perakuan Penggambaran (SPP)

KUALA LUMPUR: Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ke atas kru dan tenaga kreatif yang terbabit dalam kerja produksi menjadi prasyarat dalam permohonan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP), berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah proaktif melalui kerjasama agensi di bawah Kementerian Komunikasi, iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu dianggap tepat berikutan penggiat industri perfileman juga berdepan risiko bencana kerja.

"FINAS bersetuju menggariskan prasyarat daftar dan mencarum PERKESO bagi semua penggiat seni perfileman berikutan kebanyakan penggiat seni bekerja berdasarkan projek tanpa mengira waktu hingga meningkatkan risiko kemalangan di tempat kerja.

"Melalui pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara PERKESO bersama Kementerian Komunikasi menerusi FINAS, ia berupaya menambah baik kebajikan serta melindungi semua penggiat di bawah industri kesenian terutama perfileman untuk mendapatkan perlindungan PERKESO.

"Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi PERKESO juga berharap agar penggiat seni lain seperti 'piecemeal', 'stringer', penerbit rancangan, penyanyi dan pempengaruh serta persatuan industri seni kreatif di bawah sektor kesenian turut mencarum PERKESO.

"Ini dapat menjamin keselamatan sosial pekerjaan mereka," katanya pada majlis menandatangani MoU antara PERKESO dan FINAS di sebuah hotel di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed; Pengerusi FINAS Datuk Kamil Othman serta CEO FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Steven Sim menyifatkan pendaftaran dan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) berperanan sebagai penampan terbaik terhadap sebarang kesan luar jangka yang berupaya merencatkan penggiat sektor berkenaan dengan sumbangan kira-kira 1.9 peratus atau RM28.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam perkembangan berkaitan, Steven Sim turut mengumumkan inisiatif baharu di bawah SKSPS iaitu Bantuan Khairat Kematian (BKK) berjumlah RM1,000 untuk menampung kos pengebumian pencarum SKSPS berkuat kuasa 1 Mac lalu bagi kematian yang berlaku sepanjang tahun ini, meliputi 20 sektor di bawah skim berkenaan.

lni antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) KESUMA menerusi PERKESO dengan BKK disalurkan kepada Orang Tanggungan atau waris Orang Berinsurans yang meninggal dunia tanpa kaitan dengan pekerjaan tetapi pencarum aktif serta memiliki sekurang-kurangnya 12 bulan caruman pada masa kematian.

Seramai 3,120 individu daripada sektor kesenian di Malaysia dikategorikan pencarum aktif SKSPS setakat 12 April lalu.

Berita Harian X