Selasa, 23 April 2024 | 11:01am
Siti mengumumkan inisiatif Yayasan Nurjiwa untuk membawa penggiat seni terpilih menunaikan umrah pada bulan Syawal ini. - NSTP/Sadiq Sani
Siti mengumumkan inisiatif Yayasan Nurjiwa untuk membawa penggiat seni terpilih menunaikan umrah pada bulan Syawal ini. - NSTP/Sadiq Sani

Cinta Di Awan kenang momen ABPBH

KUALA LUMPUR: Perkongsian penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengenai Konsert Cinta Di Awan yang bakal dijayakannya di Resorts World Genting, Genting Highlands pada 10 Ogos depan menghadiahkan kegembiraan buat peminat setianya.

Selepas kejayaan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza bulan lalu, Siti memilih mengadakan persembahan di ketinggian sekitar 1,800 meter dari aras laut di Arena of Stars dan bakal membawa konsep Love in the Sky atau Cinta Di Awan.

"Alhamdulillah, tahun ini diberikan rezeki lebih sedikit untuk saya menghiburkan peminat. Maknanya ada beberapa konsert yang dapat saya persembahkan, tahun ini.

"Selain Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza, saya juga bakal mengadakan Konsert Fenomena di Singapura pada Jun depan selama dua malam berturut-turut.

"Selain rezeki peminat, tawaran yang datang ini juga saya sifatkan sebagai rezeki mereka yang berada dalam industri ini juga," katanya ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Yayasan Nurjiwa dan CTDK Holdings yang diadakan di ibu negara, Sabtu lalu.

Berkongsi lanjut mengenai penganjuran konsert, penerima trofi Anugerah Seri Perak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 itu mengakui cukup tertarik dengan konsep yang bakal dipersembahkan.

"Saya sangat suka dengan konsep poster ini kerana termasuk warna yang melatarinya. Saya sudah pun beritahu pihak pengurusan yang saya mahukan konsep sama diterjemahkan pada persembahan sebenar nanti.

"Konsert ini bakal diadakan pada Ogos dan ia memberi makna tersendiri buat saya kerana bulan itu juga adalah sambutan ulang tahun perkahwinan.

"Bersesuaian dengan tema, saya akan mendendangkan banyak lagu cinta termasuk lagu popular.

"Satu lagi perkara yang membuatkan saya teringin nak buat persembahan di Genting Highlands kerana Siti teringat kembali momen manis penganjuran Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) yang sebelum ini sering diadakan di pusat peranginan itu.

"Kita nak bawa balik keterujaan orang ramai yang cukup bersemangat nak pergi ABPBH di Genting Highlands," ungkap pelantun Biarlah Rahsia ini.

Siti dan Nabila Razali pada Majlis Sambutan Aidilfitri Yayasan Nurjiwa dan CTDK Holdings yang diadakan di ibu negara, Sabtu lalu. - NSTP/Sadiq Sani
Siti dan Nabila Razali pada Majlis Sambutan Aidilfitri Yayasan Nurjiwa dan CTDK Holdings yang diadakan di ibu negara, Sabtu lalu. - NSTP/Sadiq Sani

Mengenai kerisauan diluahkan peminat apabila terpaksa sekali lagi 'berperang' untuk mendapatkan tiket menyaksikan konsert, Siti akui simpati dengan situasi itu.

"Saya faham dan kasihan juga dengan mereka apabila terpaksa berebut untuk membeli tiket yang agak terhad.

"Tapi nak buat macam mana, lokasi konsert dipilih penganjur dan tawaran diterima kerana tempatnya agak berbeza dengan lokasi konsert saya sebelum ini," jelasnya.

Pada majlis itu, Siti turut mengumumkan inisiatif Yayasan Nurjiwa untuk membawa penggiat seni terpilih menunaikan umrah pada bulan Syawal ini.

Memperincikan perkara itu, Siti berkata, idea yang dicetuskan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu akan memberi peluang kepada rakan artis terutama yang senior untuk menikmati tawaran itu.

"Suami saya memang suka buat kejutan dan idea ini lahir secara spontan. Secara kebetulan, yayasan memperoleh kuota sekitar 30 orang, justeru beliau mencadangkan antara jemaah yang bakal dibawa adalah penggiat seni senior yang kurang berkemampuan," ungkap ibu kepada sepasang cahaya mata ini.

Bagaimanapun, Siti berkata, belum bersedia mendedahkan senarai artis yang sudah dikenal pasti untuk dibawa ke Tanah Suci.

"Buat masa ini, saya tak nak umumkan senarai artis yang terpilih. Bukannya apa, saya takut ada yang belum bersedia kerana dokumen tak lengkap dan sebagainya.

"Insya-Allah, saya akan kongsikan nama mereka yang akan menyertai 'trip' pertama kami," katanya.

Selain penggiat seni, golongan yang turut mendapat perhatian yayasan untuk mendapat peluang menunaikan umrah percuma itu adalah imam dan bilal.

Usaha itu sudah dijalankan yayasan terbabit sejak sebelum Ramadan lagi.

Berita Harian X