Selasa, 23 April 2024 | 12:22am
Armizan (tengah) bersama penerima Sumbangan Rahmah Industri Muzik 2024, malam tadi. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Armizan (tengah) bersama penerima Sumbangan Rahmah Industri Muzik 2024, malam tadi. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Artis, wartawan penerima Sumbangan Rahmah Industri Muzik 2024

KUALA LUMPUR: Seramai 21 penerima yang terdiri daripada pencipta lagu, penghibur, kakitangan syarikat rakaman dan wartawan hiburan yang mengalami kesukaran hidup dipilih sebagai penerima sumbangan pada majlis Sumbangan Rahmah Industri Muzik 2024 (SRIM) yang diadakan malam tadi.

Sumbangan itu khusus buat mereka yang diiktiraf atas perkhidmatan yang berterusan dan sumbangan besar kepada industri muzik tempatan.

Antara penerima adalah penyanyi dan pemuzik seperti Roy Rauzan, Fredo Flybaits, Shuib Freedom, Isma Aliff, Azman Warren, Lord Lokman, Raja Zainal Bumiputra Rockers, Cico Harahap, Abass Abu Bakar, S Rohani, Toki, Mel Wings, Rosmansah, Zydee One Nation Emcees, Jessy dan Iskandar Spring.

Turut menerima, wartawan hiburan, Nas Ahmad, Ridzuan Abdul Rahman dan Huzz Kamaludin serta pegawai perhubungan, Rina Baharin dan Sariah Idris.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, acara anjuran kerjasama Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Public Performance Malaysia (PPM) bersempena sambutan Hari Raya itu bertujuan memberikan sokongan kepada mereka yang menghadapi cabaran kewangan dan kesihatan dalam perjalanan profesional mereka dalam industri muzik tempatan.

"Terima kasih kepada RIM dan PPM atas inisiatif menganjurkan program ini dan seterusnya memberikan sumbangan Rahmah untuk artis dan penggerak industri kreatif yang berhadapan dengan kesukaran hidup dan isu kesihatan dan sebagainya.

"Saya melihat bahawa inisiatif ini adalah sejajar dengan hasrat untuk memperluaskan lagi agenda kerajaan yang bukan hanya digerakkan oleh kerajaan semata-mata, tapi juga pihak-pihak lain," katanya yang ditemui pada majlis SRIM di Hotel Pullman, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi RIM dan PPM, Rosmin Hashim.

Armizan (kiri) menyampaikan Anugerah Penghargaan kepada Ernie sambil disaksikan oleh Rosmin (kanan) pada majlis Sumbangan Rahmah Industri Muzik 2024, malam tadi. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Armizan (kiri) menyampaikan Anugerah Penghargaan kepada Ernie sambil disaksikan oleh Rosmin (kanan) pada majlis Sumbangan Rahmah Industri Muzik 2024, malam tadi. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Rosmin berkata, program amal yang dilancarkan pada 31 Mei 2023 itu adalah inisiatif bantuan Dana Keemasan RIM dan disokong oleh Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) tertua di Malaysia, PPM.

"Kami menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM100,000 untuk membantu penggiat industri muzik yang menghadapi masalah kewangan dan kesihatan.

"Ia bertujuan untuk menyokong kerajaan bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat termasuk penggiat industri muzik.

"Setakat ini, sejumlah 48 penggiat industri muzik tempatan sudah mendapat manfaat daripada program amal SRIM dan Dana Keemasan RIM.

"Program ini boleh memanfaatkan semua penggiat industri muzik daripada penyanyi, pemuzik, pencipta lagu, pegawai perhubungan awam syarikat rakaman sehinggalah wartawan hiburan yang kesemuanya memainkan peranan penting dalam pembangunan industri muzik tempatan.

"Dengan penganjuran SRIM 2024, kami meneruskan usaha untuk menyediakan bantuan yang amat diperlukan oleh penggiat industri muzik tempatan yang layak bagi meringankan beban mereka," katanya.

Selain itu, pengiktirafan istimewa turut diberikan kepada Ernie Zakri dan Dolla yang mencapai kejayaan cemerlang di pasaran antarabangsa.

Baru-baru ini, Ernie Zakri mengungguli carta radio Gen 98.7 FM di Indonesia dengan lagu Masing Masing, nyanyiannya bersama penyanyi Indonesia, Ade Govinda, manakala Dolla mewakili Malaysia dalam program realiti popular, Show It All di China.

Pencapaian itu menjadi bukti keupayaan bakat-bakat Malaysia untuk menembusi pasaran serantau dan global.

Kumpulan Dolla menerima pengiktirafan selepas mencapai kejayaan cemerlang di pasaran antarabangsa. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Kumpulan Dolla menerima pengiktirafan selepas mencapai kejayaan cemerlang di pasaran antarabangsa. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Berita Harian X