Ahad, 21 April 2024 | 3:01pm
Aina bersama Ahmad Muriz pada sidang media mengumumkan konsert di DFP di ibu negara, baru-baru ini. Foto NSTP Rohanis Shukri
Aina bersama Ahmad Muriz pada sidang media mengumumkan konsert di DFP di ibu negara, baru-baru ini. Foto NSTP Rohanis Shukri

Aina janjikan kelainan pada konsert di DFP

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aina Abdul membayangkan aksi pada konsert bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di sini, bulan depan, lebih gah daripada apa yang dipersembahkan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

Aina berkata, pada konsert itu, dia memberi lebih fokus kepada vokal, muzik dan penyampaiannya bersama 60 pemuzik simfoni.

"Ini adalah penampilan yang saya fikir berbeza. Jika anda tanya satu istilah untuk menggambarkan diri saya pada konsert itu adalah saya menunggu untuk menunjukkan diri ini yang sudah matang.

"Konsert ini adalah pengembaraan saya yang memperlihatkan sisi kematangan di pentas.

"Saya mungkin tidak selincah konsert sebelum ini. Anda akan dapat lihat lebih banyak sisi saya sebagai penyanyi matang bersama MPO.

Aina mahu memberi lebih fokus kepada vokal, muzik dan penyampaiannya bersama 60 pemuzik simfoni untuk konsert di DFP, bulan depan. Foto NSTP Rohanis Shukri
Aina mahu memberi lebih fokus kepada vokal, muzik dan penyampaiannya bersama 60 pemuzik simfoni untuk konsert di DFP, bulan depan. Foto NSTP Rohanis Shukri

"Saya tidak mahu tampilkan elemen yang pernah dibuat sebelum ini. Berdiri di pentas DFP sahaja saya sudah rasa 'goosebump', inikan bersama 60 pemuzik simfoni," katanya pada sidang media mengumumkan konsert bersama MP di sini, baru-baru ini.

Aina sangat menghargai peluang diberi DFP untuk mementaskan konsert di premis gah dan berprestij seperti itu.

"Ini adalah peluang yang saya mahu sepanjang karier. Namun, saya tahu, peluang seperti ini tidak datang dengan cepat dan mudah..

"Bagi saya, konsert ini adalah peluang keemasan yang sangat nanti-nantikan. Pentas DFP juga membawa cabaran besar buat saya," katanya.

Aina berkata, kelainan ketara dapat dilihat melalui susunan muzik bagi setiap dendangan yang akan dipersembahkan bersama pemuzik simfoni di bawah pimpinan konduktor muzik, Ahmad Muriz Che Rose.

"Misalnya, lagu Shadow akan disampaikan dalam bentuk simfoni dan berubah 180 darjah," katanya.

Antara agu yang bakal dipersembahkan dalam gubahan simfoni adalah Sumpah, Semalam, Sepi, Terus Hidup, Puas Sudah, Sesal, Kamu, Kejam, Imaji, Shadow, Kelip Kelip dan Dawai.

Konsert Aina bersama MPO akan dipentaskan di DFP di sini, pada 10 dan 11 Mei depan.

Berita Harian X