Ahad, 21 April 2024 | 12:56pm
Sejak lebih dua dekad menjadi anak seni, gelaran atau anugerah bukanlah sesuatu yang dikejar Siti. Foto NSTP Sadiq Sani
Sejak lebih dua dekad menjadi anak seni, gelaran atau anugerah bukanlah sesuatu yang dikejar Siti. Foto NSTP Sadiq Sani

Siti enggan bebankan fikiran soal siapa layak Biduanita Negara ketiga

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Siti Nurhaliza enggan membebankan fikiran dengan isu gelaran Biduanita Negara ketiga seperti yang diperdebatkan netizen, akhir-akhir ini.

Siti berkata, sejak lebih dua dekad menjadi anak seni, gelaran atau anugerah bukanlah sesuatu yang dikejar. Sebaliknya, fokusnya lebih kepada menghiburkan peminat dan kepuasan mereka adalah kebahagiaan buatnya.

"Berdirinya Siti di sini sebagai anak seni, sebenarnya lebih kepada menghiburkan serta berjuang untuk minat yang Siti ada.

"Siti tidak berjuang untuk mendapatkan gelaran. Gelaran itu akan datang tepat pada waktunya. Itu sahaja yang Siti hendak beritahu.

"Kalau boleh, Siti tidak mahu fikir mengenai isu gelaran biduanita ini... Tidak payah dan tidak perlu pun," katanya ditemui pada rumah terbuka Aidilfitri anjuran Yayaan Nurjiwa dan CTDK Holdings di sebuah hotel di sini, semalam.

Topik siapa layak digelar Biduanita Negara ketiga menjadi hangat apabila peminat mencadangkan gelaran itu diberi kepada Siti selepas konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil, bulan lalu.

Rentetan itu, dilapor ciapan dilayangkan di aplikasi X meminta Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga peminat Siti, membantu menunaikan hasrat peminat Siti.

Lebih mengejutkan, ciapan itu dilapor mendapat reaksi positif Fahmi dan beliau dilapor menyebut perbincangan dalaman mengenai perkara itu sudah dibuat.

Selain Siti, Datuk Sheila Majid dan Ziana juga disebut-sebut antara bintang layak diberi gelaran Biduanita Negara. Gelaran Biduanita Negara setakat ini hanya diberi kepada Allahyarham Saloma dan Allahyarham Sharifah Aini.

Siti yang meraih trofi Anugerah Seri Perak, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 mengakui kurang selesa apabila isu siapa layak diangkat Biduanita Negara ketiga menjadi perdebatan dalam media sosial.

Bagi Siti, lebih baik jika urusan membuat penilaian siapa yang layak menerima gelaran itu diberi kepada individu yang lebih arif.

"Siti pun tidak menagih (gelaran) dan kadang-kadang rasa nak tergelak pun ada, rasa macam kenapa perkara itu mesti diperdebatkan?

"Betul memang ada lagi yang lebih bagus dan lama, kita serahkan pada mereka yang arif menilainya.

"Siti sendiri tidak melihat ini suatu perkara yang perlu diperdebatkan. Kalau sudah betul-betul rezeki saya dan sampai masa, dapatlah.

"Kalau tidak dapat, Siti tak rasa apa-apa pun. Cinta Siti lebih kepada kerja menghiburkan.

"Orang yang menonton, melihat persembahan dan menghargai lagu Siti, itu lebih memberi makna," katanya.

Berita Harian X