Ahad, 21 April 2024 | 8:31am
Rozita bersama anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana. Foto IG Rozita Che Wan
Rozita bersama anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana. Foto IG Rozita Che Wan

Che Ta sedia enam set busana suami, anak-anak untuk sesi fotografi raya

KUALA LUMPUR: Bagai sudah lumrah, setiap kali menyambut Syawal, peminat ternanti-nanti persiapan selebriti. Namun, dalam ratusan anak seni, tumpuan pasti terarah kepada pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan, 51, yang mengaku membuat persiapan awal, iaitu kira-kira sebulan sebelum lebaran.

Rozita yang mesra disapa sebagai Che Ta berkata, sesi bergambar bersama keluarga tercinta sudah diselesaikan lebih awal dengan mengenakan enam busana berbeza bagi enam hari sambutan Aidilfitri.

"Sesi bergambar sekeluarga sempena Aidilfitri sudah buat dua atau tiga minggu sebelum. Kami buat siap-siap sampai Hari Raya keenam sebab mana ada jurugambar semasa Hari Raya.

Rozita sediakan enam busana untuk suami dan anak-anak yang digayakan dalam sesi fotografi sempena menyambut Aidilfitri. Foto IG Rozita Che Wan
Rozita sediakan enam busana untuk suami dan anak-anak yang digayakan dalam sesi fotografi sempena menyambut Aidilfitri. Foto IG Rozita Che Wan

"Sudah pasti mereka mahu pulang ke kampung halaman beraya. Nanti takkanlah kami pakai cantik-cantik hanya ambil gambar guna telefon sahaja pada Hari Raya," katanya kepada BH Online.

Selain itu, Rozita memberitahu, semua persiapan Aidilfitri seperti pakaian dan kuih raya sudah disediakan awal dan memilih meraikan bersama keluarga sebelah suami, Zain Saidin terlebih dahulu.

Rozita mengambil langkah itu kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan sepanjang Ramadan.

"Persiapan Hari Raya memang awal. Baju dan kuih raya pada awal Ramadan sudah disediakan.

"Untuk tahun ini, saya tidak memasak sebab kami sekeluarga sambut di rumah emak mentua dan saudara-mara Zain.

"Pagi raya kedua, kami sekeluarga berada di Alor Setar, Kedah untuk sambut raya bersama keluarga saya sehingga Aisyah habis cuti sekolah," katanya.

Rozita mempunyai 20 baju raya hasil kolaborasi bersama pereka fesyen terkenal seperti Rizman Ruzaini, Ezuwan Ismail, Fizi Woo dan ramai lagi.

Pada Ramadan lalu, Che Ta muncul di kaca TV untuk program masakan 30 episod, Cuit Cuit Che Ta terbitan RTM serta drama bersama Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, Bell Ngasri.

Berita Harian X