Sabtu, 20 April 2024 | 4:40pm
Filem Sheriff: Narko Integriti kutip RM6.4 juta pada hari kedua tayangan, semalam.
Filem Sheriff: Narko Integriti kutip RM6.4 juta pada hari kedua tayangan, semalam.

Sheriff 'potong' Mat Kilau?

KUALA LUMPUR: Filem Sheriff: Narko Integriti terus mencetus fenomena dan mencatat rekod luar biasa apabila berjaya mencatat kutipan RM6.4 juta pada hari kedua tayangannya, semalam.

Filem arahan Syafiq Yusof itu juga berjaya mengatasi rekod filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan abangnya, Syamsul yang mencatat kutipan sebanyak RM1.8 juta pada hari kedua tayangannya pada 2022.

Berkongsi berita gembira itu di platform media sosial rasmi, Astro Shaw meluahkan rasa syukur dengan sokongan penonton terhadap filem arahan Shafiq yang cukup dikenali sebagai 'Raja Plot Twist'.

"Alhamdulillah, sokongan anda memang mantap. Dua hari tayangan dan tayangan awal RM6.4 juta. Terima kasih atas sokongan semua dan mana yang masih belum tengok, tunggu apa lagi? Jom kita serbu panggung wayang ramai-ramai," katanya.

Terdahulu, filem genre aksi thriller Sheriff terbitan dua syarikat gergasi, Skop Productions dan Astro Shaw berjaya mencatat kutipan melebihi RM1 juta menerusi tayangan awal.

Sheriff adalah filem keenam hasil daripada kerjasama bersama Skop Productions selepas Polis Evo 3, Abang Long Fadil 2 dan 3, KL Special Force dan Misteri Dilaila.

Filem yang mula menemui penonton sejak Khamis lalu dibarisi pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan.

Berita Harian X