Sabtu, 20 April 2024 | 1:01pm
Bagi memastikan penampilannya sentiasa menepati cita rasa ramai dan terkini, Ziana menjadikan busana digayakan peserta ratu cantik sebagai rujukan. Foto NSTP Rohanis Shukri
Bagi memastikan penampilannya sentiasa menepati cita rasa ramai dan terkini, Ziana menjadikan busana digayakan peserta ratu cantik sebagai rujukan. Foto NSTP Rohanis Shukri

'Pantang Pak Zain lihat fesyen serabut'

KUALA LUMPUR: Di sebalik penampilan yang sentiasa anggun, 'glamor' dan mewah, ada dua lelaki yang memainkan peranan persis 'polis fesyen' untuk menasihat dan membentuk imej bintang ini seperti yang dilihat sekarang.

Bagi penyanyi Ziana Zain, beliau menyifatkan dirinya beruntung kerana bapa, Zain Abdullah dan adiknya, Anuar Zain begitu mengambil berat soal penampilan. Ini membuatkan dirinya kekal menjadi antara penyanyi wanita yang bijak dalam berfesyen.

"Pada usia 86 tahun, abah masih ambil berat cara saya berpakaian. Walaupun dia tidak lagi menguruskan saya, namun, daripada segi soal pembentukan imej, ayah tidak pernah lepas tangan.

"Apa yang saya pakai, siapa jurusolek saya, semuanya dia akan ambil tahu. Malah, dia akan buat 'quality control' (kawalan mutu) untuk setiap pakaian yang saya gayakan sebelum keluar rumah.

"Sebagai contoh, warna yang perlu saya elak dan sesuai dipakai pada usia saya sekarang, selain mahu saya sentiasa 'up to date' dalam berfesyen agar peminat tidak lekas bosan.

"Abah juga sering nasihatkan saya supaya sentiasa menjaga penampilan meskipun hanya bercelana denim dan kemeja-T supaya nampak kemas jika ada peminat mahu bergambar.

"Apabila nampak saya di televisyen (TV), dia menjadi orang pertama puji jika pakaian dan solekan saya sempurna.

"Paling pantang bagi abah adalah jika fesyen saya nampak serabut," katanya kepada BH Online.

Ziana menambah, perkara yang sama turut dilakukan Anuar apabila sering berkongsi idea daripada segi aliran terkini dalam berfesyen.

"Pak Ngah (Anuar) memang pakar dalam bab bergaya. Dia sering berkongsi idea fesyen bagaimana yang saya perlu gayakan mengikut aliran terkini.

"Malah, Anuar sudah membayangkan gaya rambut ala penyanyi Jennifer Lopez (JLo) untuk konsert solo saya nanti jika saya masih belum berhijab (ketawa).

Ziana menyifatkan dirinya beruntung kerana bapa dan adiknya, Anuar begitu mengambil berat soal penampilan. Foto NSTP Rohanis Shukri
Ziana menyifatkan dirinya beruntung kerana bapa dan adiknya, Anuar begitu mengambil berat soal penampilan. Foto NSTP Rohanis Shukri

"Pesannya, pada ketika ini, penampilan saya perlu nampak mahal seperti diva. Sekarang bukan lagi masanya untuk saya 'trial dan error' dalam berfesyen," katanya ditemui pada sesi sidang media sempena Ziana Zain Konsert 2024 di Petaling Jaya, kelmarin.

Bagi memastikan penampilannya sentiasa menepati cita rasa ramai dan terkini, penyanyi Madah Berhelah itu menjadikan busana digayakan peserta ratu cantik sebagai rujukan.

"Abah memang gemar menonton pertandingan ratu cantik kerana suka melihat penampilan mereka yang anggun melalui busana digayakan," katanya.

Meskipun masih dikawal daripada segi cara berpakaian dan pembentukan imej, namun, Ziana atau nama penuh, Siti Roziana Zain tidak pernah rasa dirinya dikongkong atau rimas. Ziana percaya semua itu adalah untuk kebaikan dirinya.

"Apabila mereka buat begitu, saya rasa diri ini seperti budak-budak. Tetapi, saya tidak pernah rasa rimas. Saya tahu mereka buat begitu kerana mereka sayang dan mahu saya kelihatan kemas sentiasa," ujarnya.

Berkongsi perkembangan terkini konsert solonya yang bakal menghangatkan Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur pada 25 Mei ini, ibu tunggal kepada empat cahaya itu bersyukur berikutan 80 peratus tiket sudah terjual.

"Saya sengaja buka jualan tiket lebih awal bagi memberi peluang peminat kumpul duit untuk beli tiket.

"Setakat ini, sudah 80 peratus tiket terjual. Persiapan konsert sudah 60 peratus. Saya baru selesai menjalani latihan untuk semua lagu yang bakal dinyanyikan.

"Saya akan dendang 20 lagu yang semuanya dipilih kelab peminat saya, iaitu Zianafolks. Saya serahkan kepada mereka kerana lebih tahu lagu apa yang orang suka dan boleh menyanyi bersama.

"Saya tidak akan menyanyi secara medley kerana peminat tak mahu. Pada malam itu, saya akan sampaikan empat lagu rancak, manakala selebihnya lagu balada melayan jiwa," katanya.

Konsert Ziana Zain 2024 bakal mendapat sentuhan pengarah muzik, Aubrey Suwito serta 16 pemuzik profesional manakala Jennifer Thompson bertindak sebagai pengarah acara.

Bagi menyemarakkan lagi konsert anjuran Anuar Zain Network Sdn Bhd itu, Ziana bakal mengadakan sesi istimewa untuk peminat istimewa, esok.

Bertempat di pusat beli-belah, Sungei Wang Plaza, sesi autograf Konsert Ziana Zain 2024 akan berlangsung pada jam 3 petang, dibawa khas penaja utama, CSA Academy.

Berita Harian X