Sabtu, 20 April 2024 | 11:01am
Salamiah menamatkan zaman solo dengan Gerry pada 1 September 2022 setelah 35 tahun hidup solo. Foto NSTP Amirudin Sahib
Salamiah menamatkan zaman solo dengan Gerry pada 1 September 2022 setelah 35 tahun hidup solo. Foto NSTP Amirudin Sahib

Dakwaan saya balu kaya mengarut - Salamiah Hassan

KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran, Salamiah Hassan, 73, mengaku masih tidak boleh melihat kediaman didiami suami, Allahyarham Gerald Hughes atau Gerry di Tasmania, Australia, biarpun sudah hampir dua tahun insan tersayang itu pergi menghadap Ilahi.

Tidak hairanlah, setiap kali pulang ke Tasmania, Salamiah yang cukup terkenal dengan lagu malar segar, Gelombang, tidak akan sesekali melewati kediaman itu.

Biarpun sekadar mengecap nikmat perkahwinan selama dua bulan dengan arwah Gerry, pemergiannya tetap meninggalkan kesan yang cukup mendalam.

"Rumah itu sebenarnya sudah dijual keluarga suami. Namun, sampai hari ini, saya tidak boleh tengok rumah itu. Hendak lalu di hadapannya pun saya tak sanggup.

Salamiah tidak menduga suaminya pergi secepat itu biarpun menyedari arwah menghidap kanser kolon. Foto NSTP Amirudin Sahib
Salamiah tidak menduga suaminya pergi secepat itu biarpun menyedari arwah menghidap kanser kolon. Foto NSTP Amirudin Sahib

"Setiap kali pulang ke Australia, saya akan menginap di rumah inap. Ada yang kata saya sudah jadi balu kaya sebab rumah itu sudah dijual. Semua itu mengarut sebab saya masih lagi bekerja demi kelangsungan hidup," katanya ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Datuk Habsah Hassan di Restoran Puteri, Sungai Pencala, Kuala Lumpur, kelmarin.

Salamiah tidak menduga suaminya pergi secepat itu biarpun menyedari arwah menghidap kanser kolon. Beliau membayangkan suami akan hidup 10 tahun lagi, namun, siapa yang boleh melawan takdir Allah.

"Saya tahu suami hidap kanser. Namun, saya nekad untuk berkahwin sebab mahu jaga suami. Jika tidak berkahwin, macam mana saya hendak jaga arwah?

"Saya yang bawa suami jalani pemeriksaan selepas beliau kerap ke tandas. Saya tertanya-tanya apa yang tidak kena, rupa-rupanya arwah menghidap kanser kolon.

"Sepanjang menjaganya, saya pastikan suami ambil ubat ikut waktu. Saya masakkan untuk arwah setiap hari.

"Saya bayangkan suami akan hidup 10 tahun lagi. Jadi, apabila suami pergi dan ketika itu, saya pula berada di Kuala Lumpur, memang hati saya hancur sangat-sangat.

"Orang nampak saya macam kuat tetapi sebenarnya tidak. Setiap hari saya cuba bangkit sedikit demi sikit. Tapi kuasa Allah besar, macam mana pun Allah sahaja yang boleh tolong kita.

"Saya hanya fikir yang baik-baik dan anggap apa yang berlaku sebagai dugaan besar daripada Allah. Ia ibarat suatu goncangan yang membuatkan saya tersedar," katanya yang menziarah pusara suaminya, Ramadan lalu.

Ditanya apa yang membuatkan beliau bersetuju untuk berkahwin biarpun tahu arwah menghidap penyakit kronik, Salamiah berkata, beliau hanya ingin membahagiakan lelaki itu.

"Jujurnya, saya sangat sayangkan arwah. Saya pilih untuk berkahwin kerana hendak beliau gembira. Takkanlah saya hendak tinggalkan orang sedang bergelut dengan sakit.

"Saya tak sempat rai hari raya dengan arwah. Kami pernah berbincang dan arwah teringin sambut hari raya di Malaysia. Namun, hasratnya tidak kesampaian," katanya.

Salamiah memberitahu, hubungannya dengan anak-anak tiri dan adik beradik suami masih baik. Selagi ada kudrat dan rezeki, Salamiah pasti pulang ke Australia setiap tahun.

Allahyarham Gerry meninggal dunia akibat kanser kolon di Burnie, Tasmania, pada 4 November 2022. Ketika itu, Salamiah berada di Malaysia untuk menjayakan persembahan.

Salamiah menamatkan zaman solo dengan Gerry pada 1 September 2022 setelah 35 tahun hidup solo. Beliau mengenali duda tiga cahaya mata itu selama 15 tahun.

Sebelum ini, Salamiah mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Raja Haron Raja Aziz dan berpisah pada 1986. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Atilia dan Raja Ahmad Shah.

Berita Harian X