Sabtu, 20 April 2024 | 8:31am
Sempena Syawal, Aina menghasilkan single berjudul Jalan Jalan Hari Raya. Sejak ditayangkan di saluran YouTube pada 9 April lalu, video muzik itu sudah meraih lebih 100,000 tontonan. Foto IG Aina Abdul
Sempena Syawal, Aina menghasilkan single berjudul Jalan Jalan Hari Raya. Sejak ditayangkan di saluran YouTube pada 9 April lalu, video muzik itu sudah meraih lebih 100,000 tontonan. Foto IG Aina Abdul

Aina kongsi rezeki pada Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Lebaran tahun ini memberi pengertian cukup luas buat penyanyi Aina Abdul yang namanya semakin kukuh dalam industri muzik.

Selain dapat menjaga ukhuwah bersama keluarga, saudara-mara, rakan-rakan serta peminat tersayang, Aina dapat berkongsi rezeki pada Aidilfitri kali ini.

Aina atau nama sebenar, Nurul Aina Abdul Ghani teruja meneruskan tradisi memberi duit raya yang menjadi amalannya sejak tahun lalu.

"Ini tahun kedua Aina bersama adik-beradik yang lebih dewasa beri duit raya. Saya kira ini adalah rutin baharu saya apabila tiba hari raya.

"Sebelum ini, belum ada tanggungjawab berbuat demikian. Namun, kali ini, perasaan untuk beri duit raya sudah ada dalam diri.

Aina teruja meneruskan tradisi memberi duit raya yang menjadi amalannya sejak tahun lalu. Foto IG Aina Abdul
Aina teruja meneruskan tradisi memberi duit raya yang menjadi amalannya sejak tahun lalu. Foto IG Aina Abdul

"Jadi, ini adalah perkara baharu buat Aina dan rasa seronok dapat berkongsi rezeki," katanya kepada BH Online.

Tambah pemenang trofi Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 itu, kali pertama berkongsi rezeki dengan memberi duit raya itu disifatkan detik paling manis dan terus terpahat dalam ingatan sampai bila-bila.

"Kenangan yang paling tidak dapat dilupakan adalah kali pertama saya menyediakan duit raya daripada saya sendiri.

"Pada saat itulah saya dapat rasakan diri ini sudah dewasa. Sejak tahun lalu, saya sudah ada semangat untuk buat sampul raya sendiri, isi duit raya, sebelum mengagih-agihkannya.

"Insya-Allah, rutin inilah yang akan saya lakukan saban tahun jika ada rezeki," katanya.

Berkongsi kenangan meraikan 1 Syawal, Aina seronok beraya bersama datuk serta sanak-saudara di Johor.

"Saban tahun saya dan keluarga menyambut Aidilfitri di Johor bersama atuk, iaitu ayah kepada emak saya. Kebetulan keluarga kami ramai di Johor.

"Kami sekeluarga akan beraya di mana sahaja atuk berada. Tahun ini, atuk beraya di Mersing, Johor. Jadi, di situlah destinasi kami untuk berhari raya.

"Rutin raya kami sama seperti orang lain juga iaitu sediakan juadah raya. Paling saya suka adalah masakan ibu, antaranya, rendang ayam dan soto ayam serta begedil. Menu itu hanya ada pada hari raya.

"Saya juga gemar dengan menu disediakan saudara saya di Kota Tinggi iaitu nasi minyak, ayam masak merah dan sambal goreng Jawa... memang sedap!" katanya.

Apabila diri terkenal, Aina tidak menafikan ada peminat yang berkunjung ke rumah saudaranya selepas mendapat tahu dia meraikan Aidilfitri di lokasi itu.

"Sebelum ini memang tak ada siapa tahu pun saya beraya di mana. Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman tahun lalu dan tahun ini, bila ada desas-desus atau mereka (peminat) dapat tahu saya bersaudara dengan seseorang yang mereka kenali, jadi mereka datang dan singgah ke rumah saudara saya itu.

"Sudah tentu saya gembira sebab kadang-kadang peminat yang kita jumpa di kampung atau tempat yang jauh, kita tidak pernah jumpa dekat mana-mana acara," katanya.

Sempena Syawal, Aina menghasilkan single berjudul Jalan Jalan Hari Raya. Sejak ditayangkan di saluran YouTube pada 9 April lalu, video muzik itu sudah meraih lebih 100,000 tontonan.

Berita Harian X