Rabu, 17 April 2024 | 6:54pm
Nizam menerusi hantaran di Facebook (FB) memberitahu, MONSTA Channel yang mempunyai 13.5 juta pelanggan digodam dan ditukar nama kepada MicroStrategy US. Foto NSTP
Nizam menerusi hantaran di Facebook (FB) memberitahu, MONSTA Channel yang mempunyai 13.5 juta pelanggan digodam dan ditukar nama kepada MicroStrategy US. Foto NSTP

Saluran YouTube MONSTA Channel digodam kini pulih

KUALA LUMPUR: Saluran YouTube milik studio animasi terkenal, Animonsta Studios (MONSTA), iaitu MONSTA Channel yang digodam, semalam, dibaik pulih dalam tempoh kurang 48 jam.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MONSTA, Nizam Abd Razak, berkata biarpun ada video yang hilang, namun, syarikat bersyukur apabila saluran dengan jumlah pelanggan (subscribers) seramai 13.5 juta itu dipulihkan.

"MONSTA ingin mengucapkan terima kasih kepada YouTube dan Google atas bantuan yang diberi. Kerjasama unit Network MONSTA bersama mereka berjaya membaik pulih akses ke akaun MONSTA Channel kami.

"Walaupun masih ada video yang hilang, kami sangat bersyukur insiden kali ini mampu diuruskan kurang 48 jam.

"Terima kasih kepada peminat dan pihak lain yang banyak membantu kami secara tidak langsung," katanya kepada BH Online.

Semalam, Nizam menerusi hantaran Facebook (FB) memberitahu, MONSTA Channel yang mempunyai 13.5 juta pelanggan digodam dan ditukar nama kepada MicroStrategy US.

Insiden itu menyebabkan pelanggan tidak dapat mengakses ke halaman asal MONSTA Channel, malah video animasi yang dimuat naik di platform berkenaan hilang buat seketika.

Justeru, Nizam berkata, MONSTA sedang giat menaik taraf sistem keselamatan termasuk memperketatkan akses kepada mana-mana akaun rasmi mereka.

"Kami mengambil iktibar daripada perkara ini dan bersetuju untuk menambah lebih banyak stesen siaran televisyen (TV) rasmi di Asia Tenggara.

"Mungkin stesen TV tempatan atau platform penstriman rasmi seperti Netflix dan lain-lain dapat memberi lebih kestabilan penayangan dan kepercayaan kepada penonton setia MONSTA," katanya.

Berita Harian X