Rabu, 17 April 2024 | 8:31am
Nadeera mengaku sebelum ini sukar menerima tawaran membuat persembahan dan hanya bergantung kepada persembahan di kelab malam dan hotel. Foto IG Nadeera Zaini
Nadeera mengaku sebelum ini sukar menerima tawaran membuat persembahan dan hanya bergantung kepada persembahan di kelab malam dan hotel. Foto IG Nadeera Zaini

Nadeera bersyukur laluan seni makin menyinar

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nadeera Zaini bersyukur karier seni lancar selepas bergelar juara program realiti, Big Stage 2023, tahun lalu.

Nadeera atau nama sebenar, Farah Nadeera Zaini, 31, berkata, sebelum ini dia sukar menerima tawaran membuat persembahan dan hanya bergantung kepada slot di kelab malam dan hotel.

"Alhamdulillah, setakat ini ada sahaja rezeki selepas menang di pentas Big Stage 2023. Undangan 'show' pun sudah lain, dahulu, tiada langsung.

"Saya bersyukur 2024 menjadi tahun baharu buat saya sejak bergelar anak seni. Walaupun sudah lama dalam bidang ini, saya masih fikir diri ini baru mengatur langkah.

Nadeera bersyukur karier seni makin lancar sejak meraih gelaran juara Big Stage 2023. Foto NSTP Nur Iqbal Syakir Mohd Salleh
Nadeera bersyukur karier seni makin lancar sejak meraih gelaran juara Big Stage 2023. Foto NSTP Nur Iqbal Syakir Mohd Salleh

"Sekarang, saya bersyukur, setiap bulan, ada 'show'. Jadi, saya boleh kata kehidupan saya sekarang berbeza," katanya ditemui pada majlis pelancaran single Balik Raya iaitu kerjasamanya dengan Indah Ruhaila dan Wani Kayrie di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nadeera tidak mahu mempersiakan ruang dan peluang dengan menghasilkan projek album mini mengandungi lagu ciptaan sendiri dan dua teman.

"Saya sedang berjinak-jinak menulis lagu. Saya mahu hasilkan karya sendiri. Insya-Allah, tahun ini saya akan keluarkan album mini.

"Album itu akan memuatkan antara lima hingga enam lagu. Dalam projek ini, saya bukan utamakan vokal, sebaliknya, memberi tumpuan kepada melodi yang enak didengari," katanya.

Nadeera berkata, sebelum ini, dia pernah mencipta lagu untuk penyanyi seperti Khai Bahar dan Yasmin Aziz.

"Cuma, saya tiada keyakinan untuk mencipta lagu buat diri sendiri. Jadi, tahun ini saya beranikan diri dan bersyukur kawan sangat membantu," katanya.

Berkongsi mengenai projek album mini itu, Nadeera mengakui lagu yang dihasilkan cukup istimewa kerana menceritakan perjalanan hidupnya.

Namun, tambah Nadeera, bukan mudah hendak merealisasikan album mini kerana memerlukan kos besar.

"Mungkin saya akan minta tajaan mana-mana pihak dan perkara itu masih dalam perbincangan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nadeera menyambut Aidilfitri bersama keluarga sebelah ibunya di Kelantan. Penyanyi lagu Emas ini juga sempat mengadakan kenduri doa selamat sempena kemenangannya di Big Stage 2023 ketika di Kelantan.

"Saya tidak sempat buat kenduri selepas menang Big Stage 2023. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat meraikan kejayaan itu bersama keluarga di Kelantan," katanya.

Berita Harian X