Selasa, 16 April 2024 | 1:01pm
Awie akan mementaskan Konsert Journey di dua lokasi, iaitu di Star Theatre, Singapura pada 27 Julai dan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 3 Ogos depan. Foto NSTP Aizuddin Saad
Awie akan mementaskan Konsert Journey di dua lokasi, iaitu di Star Theatre, Singapura pada 27 Julai dan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 3 Ogos depan. Foto NSTP Aizuddin Saad

Awie pentaskan konsert solo terakhir

KUALA LUMPUR: Pernah beraksi solo selepas meninggalkan seketika kumpulan Wings pada 1993, fasa yang sarat kenangan manis itu mahu diabadikan Datuk Awie melalui konsert berskala besar.

Selepas berkali-kali mementaskan konsert bersama Wings, Awie berkata, persembahan istimewa yang dinamakan 'Journey" itu bakal menjadi konsert terakhirnya, lantas menjadi konsert penutup perjalanan kerjaya solo yang mencecah tiga dekad.

"Ada sesuatu yang ingin saya tonjolkan dalam konsert itu. Selepas berbincang dan mendapat restu anggota Wings, 'Journey' akan jadi konsert solo saya yang terakhir.

Awie menjelaskan konsert solonya akan menjadi alternatif kepada peminat sementara menantikan Wings tampil dengan persembahan langsung seterusnya. Foto NSTP Aizuddin Saad
Awie menjelaskan konsert solonya akan menjadi alternatif kepada peminat sementara menantikan Wings tampil dengan persembahan langsung seterusnya. Foto NSTP Aizuddin Saad

"Bersama Wings, kami letak tempoh sembilan tahun lagi sebelum berehat. Kerjaya solo pula kalau konsert di Malaysia dan Singapura terlaksana, ia menjadi yang terakhir kerana saya mahu berehat," katanya pada majlis berbuka puasa bersama Rumah Produksi Mwrah dan Awie Entertainment yang diasaskannya di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya, baru-baru ini.

Awie atau nama sebenar, Ahmad Azhar Othman, 56, berkata, konsert solo itu akan menjadi alternatif kepada peminat sementara menantikan Wings tampil dengan persembahan langsung seterusnya.

"Saya dan Wings pernah berbual dan bercakap mengenai penganjuran konsert solo saya ini. Melalui konsert yang selama ini kita buat dan kita fikirkan, kita sayangkan konsep dahulu.

"Apabila konsep sudah ada, baru kita boleh bercakap mengenainya. Sekarang, untuk konsert solo ini nanti, saya sudah dapat gambaran cerita.

"Wings akan mencecah usia empat dekad tahun depan. Angka itu cukup besar buat Wings dan kita kena tangguh dahulu sebarang projek hingga tiba saat itu.

"Justeru, saya ambil kesempatan itu untuk tampil dengan konsert solo," katanya.

Biarpun agak berahsia mengenai pengisian konsert itu, namun, Awie akhirnya sudi berkongsi inti pati perjalanan konsert anjuran Truepixel Sdn Bhd dengan kerjasama Rumah Produksi Merah itu.

Awie berkata, konsert itu lebih bersifat peribadi dan akan memaparkan tiga dekad perjalanan kerjaya seninya sebagai penyanyi solo.

"Perjalanan kerjaya solo saya sudah masuk 30 tahun. Sepanjang tempoh itu, macam-macam kisah berlaku.

"Jadi, saya sudah tetapkan satu cerita untuk konsert ini. Ia tidak akan menjadi konsert biasa tetapi luar biasa.

"Tidak dapat dinafikan, memang susah hendak buat. Tetapi, kita akan ikhtiar macam mana hendak buat konsert itu jadi realiti.

"Insya-Allah, tidak akan ada penyanyi undangan. Sebaliknya, saya mahu beraksi solo sepenuhnya dalam konsert ini nanti," kata penyanyi yang popular dengan lagu Di Penjara Janji ini.

Awie berkata, Konsert Journey akan mengetengahkan konsep monolog dan teaterikal yang menjadi 'tanda dagang' dirinya selama ini.

"Konsert itu ada elemen drama, selain monolog dan teaterikal. Konsep kali ini memang menarik dan saya percaya peminat akan suka.

"Saya akan pilih lagu saya dan lagu Wings yang sesuai untuk dipersembahkan pada malam itu.

"Penceritaan konsert ini bermula pada 1985, iaitu ketika saya mula-mula hendak jadi anak seni hingga sekarang.

"Apa sahaja kejadian yang berlaku akan saya paparkan di layar lebar LED dan di pentas.

"Mungkin akan pelakon yang diundang untuk membawa watak yang wujud sepanjang perjalanan karier saya," katanya.

Konsert Journey akan dipentaskan di dua lokasi, iaitu di Star Theatre, Singapura pada 27 Julai dan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 3 Ogos depan.

Pada majlis itu, Awie juga menyampaikan sumbangan peribadi kepada insan seni memerlukan iaitu pelakon, Isma Aliff, keluarga Allahyarham Yazit Search dan anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali P Ramlee.

Berita Harian X