Isnin, 15 April 2024 | 5:01pm
Fenomena Barkoba membawa Bell menjulang trofi Bintang Paling Popular ABPBH 35 yang disiaran secara langsung TV3 dari Istana Budaya, Kuala Lumpur, tahun lalu. Foto IG Bell Ngasri
Fenomena Barkoba membawa Bell menjulang trofi Bintang Paling Popular ABPBH 35 yang disiaran secara langsung TV3 dari Istana Budaya, Kuala Lumpur, tahun lalu. Foto IG Bell Ngasri

'Barkoba' masih fikir soal anjur rumah terbuka

KUALA LUMPUR: Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, Bell Ngasri belum merancang menganjurkan rumah terbuka, Syawal ini.

Bell berkata, dia sudah menunaikan janji untuk berbelanja buat peminat bersama geng Bekpes Hot dengan mengagihkan juadah berbuka puasa di Bandar Baru Sentul, Ramadan lalu.

"Insya-Allah kalau ada rezeki buat rumah terbuka, tidak salah. Cuma kepada peminat, saya sudah tunaikan janji, Ramadan lalu.

Bell, isteri dan anak-anak menyambut Syawal di Johor. Foto IG Bell Ngasri
Bell, isteri dan anak-anak menyambut Syawal di Johor. Foto IG Bell Ngasri

"Ketika itu, ramai peminat datang hingga makanan diagihkan tidak mencukupi," katanya kepada BH Online.

Berkongsi mengenai sambutan Aidilfitri, Bell atau nama sebenar, Nasrizal Ngasri, 43, seronok bercuti dua minggu, Syawal ini, selepas sibuk di lokasi penggambaran filem Hantu Lompat Di Kampung Pisang sepanjang Ramadan.

Bell berkata, sudah menjadi rutin mereka sekeluarga pulang menyambut Aidilfitri di Johor Bharu sebelum pulang ke rumah keluarga mentua di Muar, Johor.

"Pada Hari Raya, kami menziarah sanak-saudara di Ulu Tiram dan Larkin. Kemudian kami pergi ke rumah keluarga mentua di Muar," katanya.

Mengimbau kenangan menyambut Aidilfitri ketika kecil, Bell mengaku biarpun usia sudah mencapai 16 tahun, dia masih mendapat duit raya kerana bertubuh kecil.

"Maklumlah, saya tidak membesar. Jadi, mereka ingat saya masih bersekolah rendah. Kalau kenang balik momen itu, memang menyeronokkan, siapa tidak seronok dapat duit raya," katanya.

Bell dia juga tidak dapat melupakan pengalaman beraya di kampung bapanya yang juga bekas juruhebah radio RTM, Ngasri Sain di Teluk Sengat, Kota Tinggi, Johor.

Bell teringat perlu melalui jalan tanah merah di ladang sawit selama 30 minit untuk sampai ke kampung bapanya.

"Sudah lebih 10 tahun tidak pergi ke sana. Saya sudah tidak ingat jalan ke situ. Apa yang saya ingat, kami terpaksa melalui jalan tanah merah dan perkuburan tentera Jepun.

"Pagi-pagi kami terpaksa mandi air perigi. Bayangkan, betapa sejuknya air itu, budak-budak sekarang tidak rasa semua itu sebab segala kemudahan tersedia," katanya yang turut terkenang detik terbabit dalam iklan Aidilfitri bersama adik-beradik untuk pengeluar kenderaan nasional, Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON) dengan Datuk Jamal Abdillah dan Ramlah Ram pada 1989.

Berita Harian X