Ahad, 14 April 2024 | 5:16pm
Misya menjelaskan, hubungannya dengan Marissa tidaklah akrab seperti yang disangka, namun tidak juga bermasam muka atau bermusuh. - Foto IG Misya
Misya menjelaskan, hubungannya dengan Marissa tidaklah akrab seperti yang disangka, namun tidak juga bermasam muka atau bermusuh. - Foto IG Misya

Hubungan masih dingin, ada sikit perbalahan - Misya

KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Umisya Mazlan mengakui hubungan dengan madunya iaitu anak kepada selebriti Norman Hakim dan Abby Abadi, Marissa Dania Hakim masih 'dingin'.

Melalui entri di Instagram (IG), Umisya atau mesra disapa Misya mengakui masih ada beberapa perkara yang menghalang mereka untuk berbaik.

"Assalammualaikum, ramai yang DM (Direct Message) saya tanya mengenai hantaran ini dan pihak media pun dah mula keluarkan 'headline'.

"Sehinggakan ada yang cakap 'marketing', nak nampak mulia, nak raih populariti, nak nampak tersakiti, Allahu.

"Gambar ini diambil sebelum tular yang di mana ketika saya dan Marissa sudah pun berbaik. Sebab? Misya terima poligami ni dan dengan apa yang jadi. Kami pun berdamai. 

"Tapi lepas tular mengenai kisah nikah ni, segalanya berubah, ada sedikit berbalah dan kami mula meletakkan had yang mana masing-masing buat hal sendiri," tulis Misya bagi menjelaskan mengenai gambar selfie mereka yang dimuat naik Marissa di IG, semalam.

Jelas Misya, hubungan mereka tidaklah akrab seperti yang disangka, namun tidak juga bermasam muka atau bermusuh.

"Saya tak pernah cakap kami bermusuh. Cuma situasi kami sekarang bukan seperti yang digambarkan menerusi video ini. Mungkin suatu hari nanti Marissa hendak berbaik dengan saya kan?," tulisnya.

Pada entri sama, Misya menganggap kontroversi yang ditimbulkan satu jenama pakaian sebelum tidak seharusnya berlaku dan meminta semua pihak menghormati sensitiviti mereka.

Misya turut memberitahu, barangkali hantaran dimuat naik Marissa itu disebabkan sedang merinduinya.

"Mungkin Marissa rindu, selamat hari raya Marissa, lama kita tak berhubung. Maaf zahir dan batin, ikhlas dari saya. 

"Saya balas dengan IG story jugalah penjelasan ni ya, sebabnya saya pun tak tahu menahu Marissa 'post' story kita. Tak ada berhubung atau perbincangan setakat ni," tulis Misya.

Sebelum ini, tindakan Marissa berkongsi foto selfie bersama Misya dilihat meleraikan segala spekulasi mengenai kekeruhan hubungan mereka.

Melalui perkongsian di IG, Marissa turut menyertakan kapsyen yang menggambarkan hubungan dalam keadaan baik selepas bermadu.

Aslam dan Marissa berkahwin di Songkhla, Thailand pada 27 Disember lalu.

Kisah pasangan ini tular apabila Marissa didakwa sebagai orang ketiga dalam hubungan rumah tangga Aslam dan Misya sehingga bercerai.

Berita Harian X