Ahad, 14 April 2024 | 11:28am
Peluang menziarahi sanak-saudara sambil menjamu selera hidangan wajib sempena Aidilfitri bersama keluarga besar cukup membahagiakan hati Sophia. - Foto IG Sophia Albarakbah
Peluang menziarahi sanak-saudara sambil menjamu selera hidangan wajib sempena Aidilfitri bersama keluarga besar cukup membahagiakan hati Sophia. - Foto IG Sophia Albarakbah

Tiada soalan 'cepumas' ketika beraya

KUALA LUMPUR: Dalam keseronokan pulang ke kampung halaman bagi meraikan sambutan Aidilfitri, ada yang tidak berpeluang berbuat demikian kerana seluruh ahli keluarga sudah berpindah sepenuhnya ke ibu kota.

Sudah pasti, suasana dan senario perayaan di ibu kota berbeza dengan sambutan di kampung halaman dalam suasana tenang, dikelilingi pepohon kehijauan dan udara segar.

Perkara itu juga dilalui aktres popular, Sophia Albarakbah, 31, apabila mengakui hanya sekali pernah menyambut lebaran di kampung iaitu ketika masih bersekolah rendah.

Sophia berkata, sudah pasti timbul perasaan rindu kembali merasai 'nikmat' berhari raya di kampung selepas setiap tahun menyambut perayaan di ibu kota bersama keluarga tercinta.

Bagaimanapun, pemenang trofi Aktres Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 itu tidaklah begitu ralat apabila masih diberi peluang untuk bersama keluarga tersayang pada perayaan yang disifatkan sebagai hari kemenangan umat Islam itu.

Katanya, peluang menziarahi sanak-saudara sambil menjamu selera hidangan wajib sempena Aidilfitri bersama keluarga besarnya cukup untuk membahagiakan hati.

"Setiap tahun saya akan beraya di Kuala Lumpur, jadi kadang-kadang saya ada terfikir untuk cuba beraya di kampung, tapi tak dapat sebab memang semua ahli keluarga berkumpul di ibu kota.

"Hanya sekali sahaja saya pernah beraya di kampung, itupun semasa masih kecil. Kalau tak salah, ketika itu saya berusia antara tujuh atau lapan tahun.

"Saban tahun sambutan Aidilfitri di Kuala Lumpur sahaja sebab semua ahli keluarga sudah berpindah ke sini.

"Namun, itu juga adalah perkara manis sebab saya masih dapat berkumpul bersama keluarga. Saya boleh jumpa saudara-mara sebab ayah ada 13 adik-beradik.

"Keluarga kami memang besar dan itu antara perkara yang menyeronokkan semasa sambutan Aidilfitri," katanya kepada BH Online.

Sophia tak kisah tiada teman lelaki sambut Aidilfitri bersama. - Foto IG Sophia Albarakbah
Sophia tak kisah tiada teman lelaki sambut Aidilfitri bersama. - Foto IG Sophia Albarakbah

Dalam keseronokan bertemu sanak-saudara, pasti akan muncul soalan yang menyentuh mengenai hal peribadi termasuklah perancangan mendirikan rumah tangga, apatah lagi usia sudah memasuki usia 30-an.

Namun, berbeza buat Sophia kerana keluarga besarnya sama sekali tidak pernah menjaga tepi kain saudara lain, malah saling memahami sama ada ia sensitif untuk ditanya atau sebaliknya.

Pelakon yang mula menempa nama selepas membintangi drama Tercipta Satu Ikatan itu berkata, antara perkara yang mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan adalah masak juadah Aidilfitri bersama-sama.

"Satu perkara keluarga besar adalah soalan berkaitan bila hendak kahwin dan seumpamanya memang tak pernah ditanya.

"Keluarga saya bukan jenis begitu. Saya juga ada saudara yang sudah mencecah usia 40 tahun dan masih belum berkahwin, tapi keluarga tak pernah tanya mengenainya.

"Selain itu, kebanyakan ahli keluarga suka memasak, jadi semasa Aidilfitri memang banyak masa dihabiskan dengan memasak. Bagi saya, juadah dimasak bersama menyatukan kami," katanya.

Sophia akan berangkat ke Jepun bagi jalani penggambaran drama From Saga With Love musim kedua selepas Aidilfitri. - Foto IG Sophia Albarakbah
Sophia akan berangkat ke Jepun bagi jalani penggambaran drama From Saga With Love musim kedua selepas Aidilfitri. - Foto IG Sophia Albarakbah

Mengulas mengenai juadah bakal dihidangkan di pagi Syawal, Sophia memberitahu, keluarganya akan menyediakan aneka juadah.

"Disebabkan ibu berbangsa Cina, jadi setiap kali buat rumah terbuka memang wajib ada makanan Cina.

"Selain itu, kami juga akan sediakan juadah makanan Arab. Saya juga ada ibu saudara dari Indonesia dan setiap kali Aidilfitri memang dia akan masakan seberang.

"Ibu saudara saya itu adalah ibu kepada Aishah Retno sebab kami sepupu.

"Kami pelbagaikan juadah sempena Aidilfitri sebab tak nak bosan dengan makanan sama setiap tahun. Juadah kegemaran saya adalah sate, rendang dan lemang," kata Sophia yang mempunyai enam pasang baju sempena Aidilfitri.

Mengulas perancangan selepas Aidilfitri, Sophia berkata dia akan berangkat ke Jepun untuk menjalani penggambaran drama.

"Selepas raya saya akan berangkat ke Jepun untuk menjalani penggambaran drama terbitan Viu, From Saga With Love musim kedua.

"Agak mencabar juga untuk kekalkan momentum lakonan sebab orang ramai suka musim pertama.

"Saya takut orang rasa musim kedua ini tak seronok, jadi di situ ada tekanan untuk kami.

"Sebelum ini, saya sudah bawa watak Bianca Rozario dalam drama itu, jadi sekarang ini perlu tambah baik sahaja," katanya.

Berita Harian X