Sabtu, 13 April 2024 | 6:00pm
Kaka dan Daniesh menyampaikan lagu Karya yang juga runut bunyi Tonton Original Series: Kuih Muah sehingga berjaya menarik perhatian ramai. - Foto Ihsan Alternate Records
Kaka dan Daniesh menyampaikan lagu Karya yang juga runut bunyi Tonton Original Series: Kuih Muah sehingga berjaya menarik perhatian ramai. - Foto Ihsan Alternate Records

Kaka, Daniesh tampil duet romantis

KUALA LUMPUR: Selepas tidak bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman sejak Disember tahun lalu, penyanyi Kaka Azraff akhirnya membuat kemunculan menerusi single duet terbaharu berjudul Karya di bawah label Alternate Records.

Menariknya, Karya yang turut menampilkan penyanyi sedang meningkat naik, Daniesh Suffian dijadikan runut bunyi bagi Tonton Original Series: Kuih Muah sehingga berjaya menarik perhatian ramai dan menerima sambutan hangat peminat.

Lagu genre pop ciptaan sepenuhnya Omar K dan Dari itu menceritakan perasaan seseorang yang menemui pilihan hati tepat dan keterujaannya memberitahu perasaan itu kepada seluruh dunia.

Bagi Kaka atau nama sebenar, Nor Atiqa Noor Azraff, ia adalah kerjasama pertama bersama Alternate Records dan membuatnya teruja untuk menghasilkan lagu berunsur lebih romantis daripada kebanyakan lagu yang biasa dibawakan sebelum ini.

"Saya teruja dan berdebar apabila mahu memperdengarkan lagu ini kepada peminat. Saya rasa lagu ini sangat menarik kerana kali pertama bakal membawakan lagu lebih romantis.

"Ini berlainan daripada kebiasaan dan imej saya. Lagu ini juga duet pertama bersama Daniesh yang mempunyai suara penuh dengan karakter sendiri.

"Saya harap pendengar suka dan terus mendengarkan lagu ini di pelbagai platform muzik," kata Kaka.

Kaka teruja kali pertama bekerjasama dengan Alternate Records dan menghasilkan lagu berunsur lebih romantis, berbeza lagu yang biasa didendangkan. - Foto IG Kaka Azraff
Kaka teruja kali pertama bekerjasama dengan Alternate Records dan menghasilkan lagu berunsur lebih romantis, berbeza lagu yang biasa didendangkan. - Foto IG Kaka Azraff

Sementara itu, Daniesh berkata, dia sentiasa mengintai peluang untuk membina kerjaya muzik dengan percubaan genre lagu berbeza.

"Saya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kaka kerana dia memberikan olahan lagu yang unik dan segar dalam industri muzik dengan intonasi dan karakter suaranya berbeza.

"Bagi saya, keunikan suara Kaka memberi impak berlainan terhadap lagu dan keseluruhan mesej yang ingin disampaikan.

"Saya berharap peminat dapat menerima lagu ini dengan baik," kata Daniesh yang dikenali ramai menerusi media sosial dan pernah menyertai beberapa program realiti nyanyian seperti Vokal Mania dan Immortal Songs di TV3.

Lagu Karya boleh didengari dan dimuat turun di semua platform penstriman muzik.

Berita Harian X