Sabtu, 13 April 2024 | 3:01pm
Aisha rindu makanan tradisi Indonesia sebagai juadah pagi raya kerana lebih pedas. - Foto IG Aisha Retno
Aisha rindu makanan tradisi Indonesia sebagai juadah pagi raya kerana lebih pedas. - Foto IG Aisha Retno

Aisha Retno rindu beraya di Jakarta

KUALA LUMPUR: Memiliki ibu bapa daripada dua negara berbeza memberi peluang kepada penyanyi Aisha Retno meraikan hari lebaran menerusi dua budaya.

Sejak kecil, Aisha, 23, berkata, dia dan keluarga akan pulang meraikan Syawal di kampung halaman ibunya yang juga penyanyi Indonesia, Jean Retno Aryani di Jakarta, Indonesia.

Namun, katanya, disebabkan ramai di kalangan ahli keluarga di sebelah ibunya sudah pergi menghadap Ilahi, jadi mereka menyambut Syawal di Kuala Lumpur sejak 2017.

"Rindu nak meraikan hari lebaran di Jakarta. Sejak kecil, saya sering beraya di negara seberang.

"Dulu pulang ke kampung mama selama seminggu memang rasa tak puas. Kalau boleh nak habiskan masa selama dua minggu, tapi sebab saya bersekolah, jadi terpaksa pulang ke Kuala Lumpur.

"Mama pula biasanya akan tinggal lebih lama, ada masanya hingga sebulan. Tapi, sekarang kami sudah tidak balik ke Jakarta untuk menyambut Syawal sebab ahli keluarga mama ramai yang sudah tiada.

"Kami masih lagi pulang, tetapi bukan pada musim perayaan. Contohnya, saya akan terbabit dengan persembahan di Java Jazz pada Mei depan, jadi itulah kesempatan kami untuk mengunjungi sanak-saudara yang masih ada," katanya kepada BH Online.

Aisha dan keluarga tidak lagi pulang berhari raya di Jakarta disebabkan ramai sanak-saudara sudah tiada. . - Foto IG Aisha Retno
Aisha dan keluarga tidak lagi pulang berhari raya di Jakarta disebabkan ramai sanak-saudara sudah tiada. . - Foto IG Aisha Retno

Berkongsi kemeriahan sambutan Syawal antara Malaysia dan Indonesia, kata Aisha, hari lebaran lebih meriah di Kuala Lumpur, berbanding Indonesia kerana masyarakat di sana lebih meraikan Ramadan.

"Memang di sini jauh lebih meriah. Di Indonesia, mereka lebih meraikan kehadiran Ramadan, jadi sambutannya lebih meriah pada bulan puasa.

"Soal juadah yang menjadi kegemaran saya, sejujurnya saya sukakan makanan pedas. Jadi, saya lebih sukakan makanan tradisi Indonesia, sebagai juadah pagi raya.

"Saya sukakan rendang, tetapi kena pedas," katanya.

Sementara itu, Aisha berkata, dia tidak pasti dapat bercuti berapa lama, kerana sentiasa berada dalam keadaan bersedia kerana lazimnya ada sahaja undangan persembahan pada saat akhir.

"Selalunya saya sentiasa bersedia bila dihubungi pada saat akhir diundang buat persembahan.

"Bergelar penyanyi memang tiada istilah cuti, sebaliknya perlu sentiasa bersedia," katanya yang hanya menyediakan sepasang baju baharu pada hari raya.

Berita Harian X