Sabtu, 13 April 2024 | 1:00pm
Tiga anak Hussein, Faizal, Fairuz dan Dilla rindu raikan Syawal ketika orang tua masih ada. - NSTP/Asyraf Hamzah
Tiga anak Hussein, Faizal, Fairuz dan Dilla rindu raikan Syawal ketika orang tua masih ada. - NSTP/Asyraf Hamzah

Rumah 'Menteri Pasola' kena serbu setiap kali raya

KUALA LUMPUR: Bila sebut nama Allahyarham Hussein Abu Hassan pasti akan terbayang watak Menteri Pasola menerusi filem Laksamana Do Re Mi arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Seniman veteran itu cukup dikenali dengan watak antagonis, selain jasanya dalam dunia pengarahan menerusi filem Bunga Padi Berdaun Lalang, Panglima Badol, Senja Merah, Gila-Gila Remaja dan banyak lagi.

Namun, tak mampu disangkal, filem Gila-Gila Remaja antara filem arahan arwah yang masih menjadi sebutan hingga hari ini. Ia bukan sahaja menyerlahkan sisi sebagai sutradara, malah naskhah itu turut melahirkan bintang kekal relevan iaitu anaknya, Faizal Hussein dan anak saudaranya, Datuk Rosyam Nor.

Sempena Syawal ini, BH Online berkesempatan menemui anak-anak Hussein iaitu Faizal serta dua kakaknya, Dilla dan Fairuz yang turut membesar sebagai anak seni.

Tiga beradik ini mengimbau kenangan meraikan Hari Lebaran bersama arwah bapa dan ibunya yang juga Allahyarham Seniwati Mahyon Ismail.

Faizal, 56, berkata kediaman arwah ibu bapanya di Gombak antara 'lokasi panas' yang menjadi tumpuan ramai setiap kali hari raya.

Bukan sahaja dikenali sebagai antara bintang tersohor, malah Allahyarham Hussein dan Mahyon cukup disenangi dengan sifat ramah dan suka membantu di kalangan penduduk setempat.

"Sambutan raya kami ketika kecil memang seronok sebab dikelilingi sanak-saudara beraya ke rumah. hari raya pertama dan kedua memang penuh rumah.

"Sememangnya rumah kami jadi tumpuan, lebih lagi, rumah arwah nenek dan datuk berdekatan, jadi ramai akan singgah sepanjang musim perayaan.

"Ada kala antara 20 sehingga 30 kereta singgah, bayangkan beratus-ratus tetamu tak ubah seperti kenduri. Rakan artis, Erma Fatima dan Datin Paduka Umie Aida juga selalu datang ketika masih bersekolah.

"Jadi, kiranya kalau orang ketuk sahaja pintu rumah, memang buka," kata Faizal.

Faizal terkenang kediaman arwah ibu bapanya di Gombak antara ‘lokasi panas’ yang menjadi tumpuan ramai setiap kali hari raya. - NSTP/Asyraf Hamzah
Faizal terkenang kediaman arwah ibu bapanya di Gombak antara ‘lokasi panas’ yang menjadi tumpuan ramai setiap kali hari raya. - NSTP/Asyraf Hamzah

Mengimbau kenangan lama, Faizal berkata, dia dan dua kakaknya mempunyai tugas menjelang hari raya. Rutin itulah menjadi kerinduannya menjelang Aidilfitri.

"Memang terasa bila orang tua sudah tiada, apatah lagi, banyak kenangan yang dirindui. Misalnya, kami ada tugas masing-masing bila nak raya. Tugas saya membersih trofi arwah ibu dan bapa.

"Selain itu, paling terasa ketara bila tiada lagi masakan dan air tangan arwah emak.

"Selalunya arwah emak akan masak ayam masak kalio, masakan minang dan rendang daging. Itu masakan paling saya suka," katanya.

Fairuz, 58, berkata, kemeriahan beraya di Gombak antara momen yang tidak akan dilupakan ketika arwah ibu bapa masih ada.

"Selalunya raya pertama dan kedua kami tak menang tangan. Kadang-kadang kami sekeluarga ada menjayakan program televisyen (TV) dan sudah tentu nak tengok, jadi kami menontonnya bersama tetamu beramai-ramai depan kaca TV.

"Dulu, Sasha Elite ketika masih bersekolah selalu datang sebab dia antara peminat Faizal. Jadi, memang ramai yang datang ke rumah nak jumpa Faizal ketika itu.

"Tapi bukan hari raya sahaja, hari biasa pun ramai yang datang. Ada masanya kami biarkan sahaja pintu terbuka, bila tiada orang barulah kami tutup," katanya.

Fairuz bersama suaminya, Zul Nadzar dan anaknya, Amin Zulkifli. - NSTP/Asyraf Hamzah
Fairuz bersama suaminya, Zul Nadzar dan anaknya, Amin Zulkifli. - NSTP/Asyraf Hamzah

Kongsi lanjut, penyanyi jolokan Malaysia's Queen Of Soul itu berkata, arwah ibu bapanya cukup dikenali dengan sikap suka membantu orang.

"Kami pernah tinggal di Jalan Haji Hussein, betul-betul di hadapan Chow Kit selama tiga tahun. Setiap kali sesiapa ada masalah, tak kira siapa hingga ada tetamu datang dari Kelantan mengadu kepada arwah bapa.

"Mereka buat arwah bapa seperti penghulu dan sudahlah jalan di situ juga nama arwah bapa.

"Misalnya, bagasi hilang di lapangan terbang atau hilang kerja semuanya cari arwah bapa. Tak kira kenal atau tidak, arwah ibu bapa terima sahaja tetamu yang datang.

"Sebab itulah saya boleh berjalan ke sekolah di Kampung Baru sejauh dua batu dan tiada siapa berani ganggu sebab mereka kata anak Hussein Abu Hassan. Sememangnya, arwah punya pengaruh dan begitu dihormati," katanya.

Dilla yang juga pelantun lagu Tak Mungkin Mindaku Terlena, Apa Lagi dan Sekeping Kartu Undangan berkata, kediaman arwah ibu bapanya di Gombak tidak berpagar bagi memudahkan orang ramai datang ke rumah.

Justeru, katanya disebabkan keluasan dan lokasi strategik rumah berkenaan membuatkan ramai yang suka bertandang.

"Arwah ibu bapa tidak mahu buat pagar, jadi semua orang boleh datang dan mereka sangat mengalu-alukan kedatangan tetamu.

"Ada masanya beratus tetamu datang, memang penat melayan, tapi kami seronok dan sudah biasa," katanya yang kini menetap di rumah berkenaan.

Dilla begitu merindui masakan Singapura air tangan arwah ibunya. - NSTP/Asyraf Hamzah
Dilla begitu merindui masakan Singapura air tangan arwah ibunya. - NSTP/Asyraf Hamzah

Dilla berkata, dia begitu merindui masakan Singapura air tangan arwah ibunya.

"Arwah emak juga selalu masak kuah rawan dan sotong masak hitam yang juga masakan Singapura.

"Arwah bapa pernah bekerja sebagai anggota polis, jadi arwah emak banyak belajar masakan Singapura ikut selera bapa.

"Paling saya tak lupa arwah emak suka masak rendang daging di luar rumah, jadi tiada lagi tradisi ini bila mereka sudah tiada," katanya.

Allahyarham Hussein pernah menerima Anugerah Seniman Veteran, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-19 pada 2006 kerana jasanya dalam bidang seni. Beliau menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit buah pinggang dan beberapa komplikasi penyakit lain pada 26 November 2007.

Sementara itu, Allahyarham Mahyon meninggal dunia akibat sesak nafas pada 21 Mei 2011.

Berita Harian X