Sabtu, 13 April 2024 | 11:00am
Amyra dan Amar ajar anak-anak cara sederhana sambut Aidilfitri. - Foto IG Amyra Rosli
Amyra dan Amar ajar anak-anak cara sederhana sambut Aidilfitri. - Foto IG Amyra Rosli

Syawal hilang seri tanpa insan tersayang

KUALA LUMPUR: Kehadiran 1 Syawal sedikit berbeza buat keluarga pasangan selebriti popular, Amyra Rosli dan suaminya, Amar Baharin apabila buat julung kali meraikan hari yang penuh bermakna tanpa insan tersayang.

Amyra atau nama sebenarnya, Nur Amira Izzati Rosli, 33, berkata ini kerana mereka sekeluarga masih lagi bersedih dengan pemergian bapa Amar, Allahyarham Mohd Baharin Amir yang menghembuskan nafas terakhir pada Mei tahun lalu.

"Aidilfitri tahun ini disambut secara sederhana kerana Amar kehilangan arwah bapa pada Mei tahun lalu.

"Jadi, inilah kali pertama kami beraya tanpa arwah dan pastinya situasi ini agak kekok buat Amar.

"Justeru, kami memutuskan beraya di Kuala Lumpur. Pemergian arwah begitu meninggalkan kesan kerana biasanya dialah paling sibuk mengajak anak-anak beraya ke rumah saudara-mara.

"Kalau tak pergi beraya, arwah akan ajak kami pergi bercuti. Tapi, momen ini takkan dapat dirasai lagi," katanya kepada BH Online.

Amyra dan Amar memutuskan meraikan Syawal di Kuala Lumpur selepas pemergian arwah bapa Amar. - Foto IG Amyra Rosli
Amyra dan Amar memutuskan meraikan Syawal di Kuala Lumpur selepas pemergian arwah bapa Amar. - Foto IG Amyra Rosli

Pengacara program Nona itu berkata, keinginan bersederhana menyambut hari lebaran juga didorong situasi melanda seluruh dunia ketika ini.

"Bila melihat keadaan berlaku ke atas rakyat Palestin, perasaan nak sambut raya secara berlebihan jadi terbantut.

"Rasa sedih terkenangkan penderitaan mereka. Saya turut terapkan unsur sederhana kepada anak-anak dan mereka sangat memahaminya," cerita Amyra lagi.

Dalam perkembangan lain, Amyra meluahkan rasa syukur dikurniakan rezeki melimpah ruah buat mereka sekeluarga.

"Alhamdulillah, selain tawaran lakonan tak putus, kami sekeluarga juga banyak terbabit dalam projek kempen membabitkan pelbagai jenama.

"Anak-anak, Aqeef Anaqi dan Ayra Aryssa turut menunjukkan komitmen yang cukup bagus sepanjang penggambaran. Cuma, kena pandai jaga 'mood' sahaja.

"Biasanya, saya beri keizinan untuk mereka makan apa sahaja di set penggambaran, Kalau di rumah, saya memang hadkan makan makanan manis tapi di set, saya biarkan sahaja.

"Saya anggap ini sebagai ganjaran atas penat lelah selepas bekerja," ujar pelakon drama rantaian Kerasnya Takdir.

Selain program khas Aidilfitri, Amyra turut terbabit dalam program istimewa RaRa TV3, Oh Mummy! yang memaparkan kehidupan harian bersama keluarga bahagianya.

Berita Harian X