Jumaat, 12 April 2024 | 1:12pm

Aidilfitri terasa sayu tanpa insan tercinta

KUALA LUMPUR: Takbir bergema di ruang angkasa fajar 1 Syawal menghadirkan rindu yang tak berpenghujung buat dua wanita ini.

Di sebalik keceriaan ditunjukkan sepanjang sesi fotografi khas ini, jauh di sudut hati bekas pelakon, pelawak dan penari kebudayaan era 1980-an, Sukarni Jaafar dan anak saudaranya, Raja Ema ada kesedihan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

Bagaimanapun, tidak sukar mendasari hati dua wanita ini apabila masing-masing berkongsi gejolak rasa yang sama mengenai perasaan meraikan Aidilfitri tanpa insan tercinta.

Bagi Sukarni, pemergian suami tercinta, Omar Othman tujuh bulan lalu membuatkan sambutan 1 Syawal sedikit hambar buat dirinya dan anak.

"Ini kali pertama kami meraikan Aidilfitri tanpa suami tercinta selepas arwah meninggal dunia, tujuh bulan lalu.

"Meskipun bukan perkara baharu kerana sebelum ini arwah tak pernah menyambut hari raya pertama bersama kami kerana di rumah isteri pertama, namun situasi tetap berbeza.

"Biasanya arwah beraya dengan kami pada hari raya kedua, tapi nampaknya rutin ini tiada lagi tahun ini," luahnya kepada BH Online.

Pemergian suami Allahyaraham Omar Othman tujuh bulan lalu membuatkan sambutan 1 Syawal sedikit hambar buat Sukarni dan anak. - NSTP/Asyraf Hamzah
Pemergian suami Allahyaraham Omar Othman tujuh bulan lalu membuatkan sambutan 1 Syawal sedikit hambar buat Sukarni dan anak. - NSTP/Asyraf Hamzah

Namun, kesedihan Sukarni atau lebih akrab disapa Mak Nani terubat apabila dapat menikmati keindahan Syawal bersama anak, cucu dan anak saudara.

"Mujur ada anak dan cucu, terubat juga rasa sedih. Saya juga bersyukur rumah menjadi tempat anak saudara berkumpul setiap kali Aidilfitri.

"Maklum sahajalah, saya yang menggantikan tempat sebagai orang tua selepas pemergian kakak, Allahyarham Yusni Jaafar," ujarnya.

Ditanya apakah momen indah berbicara soal lebaran, Sukarni berkata, perkara paling diingati adalah kiriman kad hari raya daripada peminat.

"Saban tahun, saya terima berbakul-bakul kad hari raya kiriman peminat. Ada yang sempat dibaca atau dibalas, ada juga sebaliknya.

"Paling lucu bila ada peminat ingin melamar saya menerusi kad ucapan hari raya," imbaunya sambil tertawa.

Memahami apa yang dilalui ibu saudaranya, pemilik nama lengkap Raja Ema Raja Ibrahim berkata, lebaran juga mengembalikan nostalgia bersama arwah ayah dan ibu.

"Paling dirindui sudah tentu momen manis ketika arwah ibu dan ayah masih hidup. Saya pula belum berkahwin, jadi suasana cukup meriah.

"Arwah memang suka masak dan kebiasaannya masak pelbagai jenis juadah sepanjang hari raya.

"Menu pagi, tengah hari dan malam berbeza. Memang menjadi sifat ibu suka jamu orang," cerita penyanyi lagu Jejaka Idaman ini.

Mengimbau zaman ketika masih aktif bergelar anak seni, pelakon filem Setinggan dan Manis-Manis Sayang itu berkata, dia sempat meraikan hari raya pertama sahaja.

"Bulan puasa biasanya saya sibuk menjalani rakaman program. Saya hanya berehat pada hari raya pertama kerana sibuk ke luar daerah bagi memenuhi undangan persembahan sehingga sebulan beraya.

"Kiranya saya memang tak pernah melekat di rumah kerana saban hari, pasti ada undangan persembahan," katanya.

Sambutan Syawal Raja Ema lebih ceria apabila keadaan kesihatan anaknya, Putera Ammar yang mengalami masalah usus semakin menunjukkan perkembangan positif. - NSTP/Asyraf Hamzah
Sambutan Syawal Raja Ema lebih ceria apabila keadaan kesihatan anaknya, Putera Ammar yang mengalami masalah usus semakin menunjukkan perkembangan positif. - NSTP/Asyraf Hamzah

Raja Ema berkata, Syawal tahun ini disambut lebih ceria apabila keadaan kesihatan anaknya, Putera Ammar yang mengalami masalah usus semakin menunjukkan perkembangan positif.

"Tahun lalu, kami berdepan ujian apabila Ammar didiagnosis masalah pada usus.

"Ammar hanya boleh makan makanan tertentu dan mengambil masa kerana perlu ambil makanan dalam kuantiti sangat sedikit.

"Kadang-kadang untuk habiskan makanan mengambil masa tiga jam.

Bagaimanapun selepas mendapatkan rawatan susulan dan tukar ubat, keadaannya semakin menunjukkan perkembangan positif.

"Rasa lega bila tabiat pemakanan Ammar sudah berubah. Dia sudah boleh makan nasi ayam dan kebab.

"Walaupun hanya 10 peratus, saya tetap bersyukur. Jika tahun lalu kami sekeluarga sambut raya dengan perasaan sedih, kali ini seronok sikit," ungkapnya.

Berita Harian X