Rabu, 10 April 2024 | 8:30am
Nadhir sediakan dua khemah, seronok peminat datang beraya di kediaman keluarganya di Kampung Talang, Kuala Kangsar pada 1 Syawal. - Foto NSTP
Nadhir sediakan dua khemah, seronok peminat datang beraya di kediaman keluarganya di Kampung Talang, Kuala Kangsar pada 1 Syawal. - Foto NSTP

Siap pasang khemah, Nadhir seronok layan peminat datang beraya

KUALA LUMPUR: Bermain meriam buluh bersama penduduk kampung antara aktiviti paling dinantikan pelakon Nadhir Nasar setiap kali pulang meraikan Syawal di kampung halamannya di Kampung Talang, Kuala Kangsar, Perak.

Sudah menjadi rutin, pelakon drama Projek: High Council itu pulang ke kampung halaman seminggu sebelum raya bagi menyertai aktiviti yang menjadi tradisi penduduk setempat.

"Kami sekeluarga selalunya pulang seminggu lebih awal. Saya paling tak sabar bermain meriam buluh bersama orang kampung.

"Ia sudah menjadi aktiviti wajib setiap kali raya sejak saya kecil lagi. Acara bermain meriam buluh ini menjadi tradisi masyarakat di Kampung Talang dan Bukit Chandan.

"Apa yang buatkan saya lebih seronok kerana mereka tidak pernah 'doube-standard', tetapi melayan saya dengan baik.

"Setiap tahun juga orang luar dari Ipoh, Padang Rengas dan Taiping datang ke kampung kami untuk menyaksikan aktiviti bermain meriam buluh ini," katanya kepada BH Online.

Selain aktiviti bermain meriam buluh, Nadhir berkata, dia teruja menantikan kunjungan peminat di pagi raya.

Sudah menjadi rutin, Nadhir pulang ke kampung halaman seminggu sebelum raya bagi menyertai aktiviti yang menjadi tradisi penduduk setempat di Kuala Kangsar. - Foto NSTP
Sudah menjadi rutin, Nadhir pulang ke kampung halaman seminggu sebelum raya bagi menyertai aktiviti yang menjadi tradisi penduduk setempat di Kuala Kangsar. - Foto NSTP

Nadir berkata, dia menyediakan dua khemah untuk meraikan kehadiran peminatnya.

Katanya, dia mula menerima kunjungan peminat selepas menyertai program pencarian bakat, Hero Remaja 2020 dan dikenali menerusi drama Projek: Anchor SPM.

"Awal dulu memang terkejut bila peminat datang rumah. Sekarang makin ramai peminat di kampung datang berkunjung.

"Ibu bapa dan saudara mara pun turut terkejut, tapi kami gembira menyambut kehadiran peminat. Apa yang penting, keikhlasan kita meraikan kedatangan mereka.

"Mereka bukanlah serbu, tapi datang secara elok. Jadi, saya sediakan dua khemah untuk beraya bersama peminat.

"Biasanya mereka datang berborak-borak, bukan nak kacau pun. Rumah saya sudah jadi seperti kenduri.

"Mereka datang ke rumah pada Syawal pertama dengan berbaju raya, itu paling menyeronokkan," katanya yang menggemari juadah lemang, daging dendeng dan gulai lemak ayam pada pagi raya.

Berita Harian X