Selasa, 9 April 2024 | 3:00pm
Indah dan suami teruja apabila kali pertama meraikan 1 Syawal bersama anak-anak. - Foto IG Indah Ruhaila
Indah dan suami teruja apabila kali pertama meraikan 1 Syawal bersama anak-anak. - Foto IG Indah Ruhaila

Indah teruja bawa anak tiri balik kampung

KUALA LUMPUR: Penyanyi Indah Ruhaila tidak dapat menyembunyikan keterujaan bakal menyambut Aidilfitri bersama dua anak tirinya.

Indah atau nama sebenarnya, Siti Ruhailah Hussein, 36, berkata dua anak perempuan hasil perkahwinan suaminya, Ahmad Shariff Ahmad Taufik memilih meraikan Syawal bersamanya dan suami.

"Sambutan Aidilfitri tahun ini agak berbeza sebab saya dan suami beraya dengan dua anak perempuan. Selalunya anak-anak akan beraya dengan bekas isteri suami, tetapi kali ini bersama kami.

"Mereka sudah besar. Anak sulung berusia 15 tahun dan kedua berusia 11 tahun, jadi mereka sudah boleh memilih.

"Jadi, saya agak teruja sebab dapat buat persiapan untuk anak-anak.

"Mereka memilih beraya bersama kami sebab nenek di sebelah ibunya sudah meninggal dunia, jadi di kampung tiada siapa.

"Jadi, saya cakap tak mengapalah boleh beraya dengan kami," katanya kepada BH Online.

Indah meluahkan perasaan syukur apabila dua anak tirinya mudah mesra, malah sudah menganggap mereka seperti anak sendiri. - NSTP/Nur Iqbal Syakir Mohd Salleh
Indah meluahkan perasaan syukur apabila dua anak tirinya mudah mesra, malah sudah menganggap mereka seperti anak sendiri. - NSTP/Nur Iqbal Syakir Mohd Salleh

Indah dan Ahmad Shariff berkahwin pada 24 Disember 2017 dan belum dikurniakan cahaya mata.

Kongsi lanjut, pelantun lagu Balik Raya ini sudah membuat persiapan awal bagi meraikan kehadiran dua anak perempuannya itu.

"Saya sudah buat persiapan lebih awal. Kami akan pakai baju berwarna hitam yang dipilih mereka.

"Saya layankan sahaja sebab seronok melihat mereka teruja," katanya.

Indah berkata, mereka akan pulang menyambut Aidilfitri di kampung halamannya di Johor Bahru, Johor selama seminggu.

"Tahun ini giliran beraya di kampung saya di Johor Bahru. Jadi, kami bawa anak-anak sekali.

"Itulah yang membuatkan saya lebih teruja kerana kali pertama mereka beraya dengan kami dan bawa balik ke kampung saya pula.

"Keluarga saya tidak ramai anak kecil, semuanya sudah dewasa.

"Jadi, kehadiran mereka tentunya memeriahkan suasana. Insya-Allah, kami akan bermain banyak permainan di kampung nanti," katanya ketika ditemui pada sidang media majlis pelancaran video muzik lagu Balik Raya berkolaborasi bersama Wani Kayrie dan Nadeera di ibu kota, baru-baru ini.

Indah meluahkan perasaan syukur apabila dua anak tirinya mudah mesra, malah sudah menganggap mereka seperti anak sendiri.

"Alhamdulillah, hubungan saya dan anak tiri rapat, walaupun mereka menetap bersama ibu kandung. Kami keluar bersama dan mereka seperti kawan sebab satu kepala.

"Mereka pun memanggil saya 'Mommy Monster', bukan sebab saya garang tapi sebab saya comel," katanya sambil tertawa.

Berita Harian X