Selasa, 9 April 2024 | 1:00pm

Rumah Aliff 'pangkalan' ahli keluarga berkumpul

KUALA LUMPUR: Artis versatil, Alif Satar hanya meraikan Aidilfitri bersama keluarga selama seminggu sebelum berangkat ke United Kingdom (UK) pada hari raya ke-7 bagi menjayakan konsert jelajah bersama The Locos selama dua minggu.

Bagaimanapun, Aliff mengakui teruja merasai kemeriahan Syawal di negara orang, selain menyatakan hajat untuk cuba memanfaatkan peluang menyebar luaskan kempen, #GengSubuhMacamJumaat di UK.

"Apa yang seronok dan buatkan saya rasa tak sabar adalah pada hari raya ke-7, saya bersama anggota The Locos akan terbang UK bagi menjayakan konsert siri jelajah.

"Pada awalnya, kami akan tiba di Sherfield dan insya-Allah akan jalankan kempen, #GengSubuhMacamJumaat di sana sebab ramai komuniti Malaysia tahu kami akan datang.

"Jadi, kami mahu cuba gerakkan kempen ini dan ajak komuniti di sana turut serta," katanya ditemui pada majlis berbuka puasa sempena pengumuman Alif sebagai duta syarikat jual beli emas, GB Gold Malaysia di Forest Valley Hall, Cheras, baru-baru ini.

Alif berkata, dia sudah berhubung pihak Kedutaan Malaysia di UK untuk menjalankan kempen berkenaan dan berharap segala-galanya berjalan lancar.

"Insya-Allah kalau impian dapat direalisasikan mesti seronok. Kalau di Malaysia dapat kumpul berpuluh ribu, jadi kami akan cuba juga di sana.

"Saya rasa kenapa tidak ambil peluang dan berhubung dengan penduduk atau pihak kedutaan bagi menjalankan kempen ini," katanya kepada BH Online.

Alif berangkat ke UK pada hari raya ke-7 bagi menjayakan konsert jelajah bersama The Locos selama dua minggu. - NSTP/Nur Iqbal Syakir Mohd Salleh
Alif berangkat ke UK pada hari raya ke-7 bagi menjayakan konsert jelajah bersama The Locos selama dua minggu. - NSTP/Nur Iqbal Syakir Mohd Salleh

Alif Satar & The Locos akan menjalankan siri jelajah ke UK dan Paris, Perancis selama dua minggu bermula 20 April ini.

Mengulas sambutan Aidilfitri selama seminggu di tanah air, Aliff memberitahu, rumahnya bakal menjadi 'pangkalan' untuk adik-beradik dan sanak-saudara bertandang.

"Untuk sambutan Aidilfitri, rumah saya memang akan jadi 'headquarters' (HQ) untuk semua adik-beradik dan saudara-mara. Mereka kebiasaannya akan bertandang ke rumah saya untuk beraya.

"Keluarga saya biasanya raya pertama akan duduk di rumah sahaja dan buat rumah terbuka. Masuk hari kedua barulah akan keluar ziarah saudara-mara," katanya.

Bagi tema warna tahun ini, Alif berkata, dia hanya menyerahkan kepada isteri dan ibu bapanya untuk membuat pilihan.

"Kalau sebelum kahwin, setiap kali tiba Aidilfitri saya akan serahkan kepada mama dan ayah untuk tentukan warna apa untuk dijadikan tema kami sekeluarga.

"Selepas berkahwin, saya serahkan kepada isteri untuk pilih warna. Tak kira baju, rumah mana nak beraya dan sebagainya, saya akan minta mereka yang tentukan," katanya.

Berita Harian X